Thursday, June 26, 2014

Menyusu Badan Di Bulan Ramadhan


Bulan Ramadhan atau lebih senang lagi bulan puasa bagi umat Islam seluruh dunia sudah pun menjelang tiba. Bagi wanita mengandung dan menyusu badan telah diberikan rukhsah atau kelonggaran untuk tidak berpuasa kerana khuatir akan memudaratkan dirinya dan juga bayi.
Ramai ibu-ibu mengandung yang keliru dan bimbang samada mereka dapat menunaikan ibadah berpuasa seperti biasa sambil menyusu badan anak. Banyak persoalan yang timbul di fikiran mereka mengenai hal ini. Antara persoalan yang diajukan ialah:
Adakah berpuasa memberi kesan kepada susu ibu?
Berdasarkan Dr. Swee Lee(perunding pediatrik dan laktasi), berpuasa selama 12 atau 14 jam sehari lansung tidak memberikan kesan kepada kualiti dan jumlah susu badan ibu melainkan jika si ibu mengalami malnutrisi atau ketidakseimbangan makanan yang jarang berlaku di Malaysia.
Ibu juga tidak perlu risau akan masalah kekurangan air semasa berpuasa sambil menyusukan anak kecuali si ibu ada melakukan aktiviti berat yang memerlukan tenaga yang banyak dan menyebabkan kehilangan air yang banyak.
Sebenarnya pengambilan makanan tidak memberi kesan yang besar kepada pengeluaran susu badan. Kuantiti susu yang terhasil sebenarnya bergantung kepada bayi anda.  Apabila bayi menghisap puting ibu, satu deria rasa akan ke otak ibu dan melepaskan dua hormon.
  • Prolaktin- hormon pengeluaran susu.
  • Oksitoksin- hormon yang membolehkan pengaliran susu.
Secara ringkasnya lebih banyak susu yang diperlukan oleh bayi, lebih banyak mereka menyusu dan lebih banyak susu akan dikeluarkan dan dihasilkan.
Adakah berpuasa semasa menyusu badan membahayakan ibu?
Kebiasaannya badan anda atau ibu dapat bertahan jika berpuasa. Walaubagaimanapun, menyusu badan membuatkan diri ibu sangat dahaga. Jika anda ternyahidrat atau kurang air dalam badan, anda akan rasa tidak sihat.
Sebenarnya, anda atau para ibu dapat mengagak bahawa diri sedang ternyahidrat.
 Anda rasa sangat dahaga.
✔ Air kencing anda berwarna gelap dan berbau kuat.
 Anda rasa seperti hendak pitam, lemah dan lesu.
 Anda mula sakit kepala atau mengalami kesakitan lain.
Jika anda mengalami tanda-tanda seperti di atas, anda seharusnya berbuka dengan meminum air dan berehat. Jika masih tidak sihat digalakkan untuk segera berjumpa doktor.
Minum banyak air semasa berbuka dan terutamanya semasa sahur. Jangan hanya sekadar minum sahaja, penting bagi anda untuk mendapatkan nutrien, kalori, dan serat daripada makanan. Disarankan agar anda mempunyai bekalan makanan dan minuman yang mencukupi di malam hari.
Adakah berpuasa semasa menyusukan membahayakan bayi saya?
Jawapannya ialah tidak kerana seperti dijelaskan di atas bahawa berpuasa tidak memberi kesan kepada susu badan. Bayi masih memperolehi nutrien yang sama yang terkandung di dalam susu ibu samada ibu berpuasa atau tidak.
Nasihat saya penyusuan badan perlu diteruskan kerana susu ibu mempunyai nutrien yang lengkap dan jangan jadikan Ramadhan sebagai alasan untuk tidak meneruskan penyusuan badan. Keputusan samada hendak berpuasa atau tidak, bergantung kepada diri anda sendiri.

Sumber: keluargabaru.com

No comments:

Post a Comment