Friday, November 28, 2014

Tip Menjelang Isteri Bersalin

 
Biasanya bakal mama yang sibuk menyiapkan persiapan diri sendiri dan bakal anak. Bagaimana pula dengan bakal papa? Menjelang isteri bersalin, apa yang sepatutnya dipersiapkan oleh bakal papa supaya proses melahirkan anak tidak membuatnya menjadi panik.
 
Berikut beberapa tip yang mungkin boleh dijadikan panduan terutama kepada yang bakal melaluinya buat pertama kali.
 
Tanda tarikh jangkaan bersalin isteri
 
Pastikan anda telah menanda tarikh jangkaan bersalin isteri di kalender peribadi anda. Jangan buat-buat lupa atau sengaja tidak mengambil tahu tentang hal penting ini. Kini dengan pelbagai teknologi ‘peringatan’ yang ada dalam telefon pintar, bukan lagi alasan anda tidak ingat tarikh penting tersebut.  Buat awal senarai apa yang mesti dipersiapkan untuk menyambut kelahiran anak supaya anda tidak panik jika tiba-tiba isteri bersalin awal daripada tarikh jangkaannya.
 
Rancang cuti
 
Rancang cuti kerja anda menjelang saat isteri bersalin. Ketahuilah yang isteri anda mahukan anda sentiasa ada di sisi untuk menemaninya sepanjang menjelang proses bersalin. Peruntukan cuti untuk menemankan isteri sebelum, semasa dan selepas bersalin (sekurang-kurangnya seminggu selepas bersalin).
 
Simpan nombor kecemasan
 
Bukan hanya isteri sahaja yang perlu menyimpan nombor-nombor kecemasan iaitu nombor telefon doktor dan hospital tempat melakukan pemeriksaan antenatal. Suami juga perlu menyimpannya supaya mudah digunakan tatkala kecemasan.
 
Mencari pengasuh bayi
 
Sebagai bakal papa, jangan serahkan tugas mencari pengasuh bayi kepada isteri sahaja. Tidak salah jika anda juga sama-sama mencari maklumat agar boleh saling berbincang mana yang terbaik untuk bayi anda. Sebaiknya bincangkan ia sebelum tarikh jangkaan bersalin isteri supaya anda sepakat membuat pemilihan.
 
 


Cara Membersihkan Tilam Kencing Si Kecil

 
1) Serap sebanyak mungkin air kencing dengan tuala. Bagaimanapun jangan menekan terlalu kuat kerana ia akan menggalakkan air kencing terserap jauh ke dalam tilam.
 
2) Tabur kawasan tompokan pada tilam dengan serbuk penaik bagi membantu menyerap lembapan dan menyerap bau.
 
3) Vakum serbuk penaik setelah dibiarkan selama sejam.
 
4) Buat larutan campuran cuka dan air. Isi ke dalam botol semburan dan semburkan pada tompokan air kencing tadi. Seterusnya gunakan kain untuk membersihkan kesan tompokan tersebut. Cuka membantu menyegarkan fabrik, dan juga menghilangkan bau.
 
5) Jemur tilam di bawah sinar matahari. Sinar matahari sangat efektif dalam menghilangkan bau dan membunuh kuman. Jika cuaca tidak mengizinkan, sandarkan ia di bawah kipas sehingga kering.
 
 ~ Selamat Mencuba ~


Monday, November 17, 2014

Kebaikan Mengalami Morning Sickness

 
Bagi bakal ibu yang mengalami morning sickness atau alahan teruk di awal kehamilan, ia adalah pengalaman yang paling tidak menyeronokkan. Rasanya seperti hendak segera menghabiskan tempoh masa tiga bulan pertama kehamilan.
 
Tak sanggup menanggung ketidakselesaan akibat muntah, loya, hilang selera makan, mengantuk dan hilang upaya untuk melakukan tugas harian seperti sebelum disahkan hamil. Memang benar, morning sickness adalah satu gejala yang amat tidak selesa untuk dilalui oleh bakal ibu namun tahukah anda sebenarnya anda adalah ibu yang bertuah berbanding mereka yang langsung tidak mengalami morning sickness. Mengapa?
 
Hakikatnya morning sickness mempunyai kesan positif tersendiri kepada ibu hamil. Ini kerana ibu hamil yang mengalami morning sickness mempunyai peluang sebanyak 80% lebih rendah untuk mengalami keguguran di awal kehamilan berbanding ibu hamil yang sihat tanpa sebarang gejala morning sickness.
 
Bahkan dalam kajian yang dilakukan juga mendapati terdapat hubung kait antara morning sickness dengan risiko untuk kelahiran bayi pramatang. Fakta menarik yang ditemui juga mendapati ibu hamil yang mengalami gejala morning sickness di awal kehamilan boleh merangsang bayi dalam kandungan berpotensi memiliki kecerdikan lebih baik terutama dalam bidang memori bernombor dan kefasihan lisan.
 
Gejala morning sickness berlaku juga disebabkan oleh peningkatan kadar hormon hCG Beta dan lebih tinggi daripada progesterone dan estrogen ketika hamil. Jadi, kepada ibu hamil yang sedang melalui morning sickness, banyakkan bersabar dan fikirkan yang positif kerana anda sebenarnya bakal ibu yang sangat bertuah.
 
 


Thursday, November 13, 2014

IQ Tinggi Bila Rapat Dengan Ayah

 
Biasanya ibu akan menjadi orang yang paling sibuk sekali apabila anak menghadapi ujian persekolahan. Ibu akan seboleh mungkin membantu anak ketika belajar kerana mahu si kecil mendapat keputusan cemerlang. Tetapi hakikatnya peranan ayah tidak kurang penting dalam mendampingi anak belajar.
 
Bimbingan terus daripada ayah dalam proses pembelajaran dapat memberi kesan positif pada perkembangan fizikal, kognitif, emosi dan sikap anak. Anak sememangnya mencari keselesaan daripada seorang ibu, namun ia tetap memerlukan interaksi yang intensif dengan ayah.
 
Ada sebuah kajian yang dilakukan oleh University Oxford menunjukkan bahawa ada kaitan antara perhubungan rapat ayah dan anak dan pencapaian akademiknya di sekolah. Dikatakan anak yang banyak berinteraksi dengan ayah mempunyai IQ lebih tinggi berbanding anak yang kurang berinteraksi dengan ayahnya.
 
Bahkan, mereka juga memiliki kemampuan berbahasa dan kognitif yang lebih baik. Kajian lain juga mendapati anak yang dididik dengan sempurna oleh ayah mempunyai kurang masalah di sekolah dan apabila meningkat dewasa.
Maka jelaslah bahawa ayah mempunyai peranan penting dalam kemampuan akademik anak. Oleh itu ibu dan ayah perlu saling bekerjasama membahagi tugas untuk membimbing si kecil menghadapi ujian.
 
Ayah bukan sekadar membantu anak mengulang kaji pelajaran tetapi menyiapkan mental si kecil agar lebih yakin untuk menghadapi ujian tersebut. Karektor ayah yang berbeza dengan ibu tentu dapat mencipta corak pembelajaran yang berbeza berbanding ibu. Ciptakan suasana ceria dan menyeronokkan agar anak lebih bersemangat untuk belajar.
 
Mungkin anda berdua boleh bermain kuiz mengenai pelajaran yang dipelajari berbanding sekadar membaca yang tentu boleh membosankan si kecil. Pelbagai kreativiti boleh dicipta bagi menimbulkan suasana menyeronokkan semasa belajar. Jelas sekali interaksi ayah memainkan peranan penting dalam membantu pencapaian positif si anak di sekolah.
 
 


Tuesday, November 11, 2014

Kelahiran Pengaruhi Bentuk Kepala Bayi

 
Apabila melihat bayi baharu lahir, tentu anda pernah tertanya-tanya mengapa bentuk kepala bayi semuanya berbeza. Ada yang berbentuk bulat dan ada yang lonjong. Benarkah proses bersalin mempengaruhi bentuk kepala bayi?
Sememangnya bentuk kepala bayi baharu lahir yang berbeza-beza dipengaruhi oleh proses bersalin yang dilalui oleh ibu. Perbezaan bentuk kepala bayi memang disesuaikan dengan bentuk dan ukuran ketika lahir, saat dia masuk ke laluan kelahiran. Ini kerana tengkorang bayi terdiri daripada beberapa tulang lembut yang belum sempurna.
 
Bagi ibu yang melalui proses bersalin secara semula jadi, ketika bayi masuk ke saluran kelahiran yang sempit, tulang-tulang tersebut akan disesuaikan mengikut ukuran kepala. Bentuk kepala bayi pun boleh menjadi memanjang atau lonjong kerana disesuaikan dengan bentuk jalan kelahiran. Tetapi ibu tidak perlu bimbang, kerana biasanya beberapa hari kemudian, bentuk kepala bayi akan kembali ke bentuk asal.
 
Bagaimanapun bayi yang dilahirkan secara pembedahan caesarean tidak akan mengalami bentuk kepala yang lonjong. Proses bersalin secara pembedahan tidak melalui jalan kelahiran semula jadi dan tidak menyesuaikan dengan bentuk saluran kelahiran. Oleh itu bayi ini mempunyai bentuk kepala yang bulat.
 
Ada juga bayi yang melalui proses bersalin normal dengan bantuan alat seperti vakum untuk menarik kepala keluar, mempunyai bentuk kepala seperti bengkak (benjolan) tetapi ia bersifat sementara sahaja.
 
Posisi tidur bayi baharu lahir turut boleh menyebabkan perubahan bentuk kepalanya. Oleh itu sebaiknya ibu mengubah posisi tidur bayi. Misalnya, ketika bayi sudah tidur, tiarapkan bayi kerana kepalanya boleh menjadi bentuk bulat.
Jika anda terbiasa menidurkan bayi dengan menggunakan penggendong bayi, ia juga antara faktor penyebab kepala bayi tidak bulat. Untuk mencegahnya, ibu boleh merenggangkan ikatan gendongan ketika menidurkan bayi. Ubah posisi agar tidak terlalu lama pada posisi yang sama tetapi pastikan sentiasa menjaga keselamatan bayi.
 
Ketika bayi tidur, elakkan daripada dia hanya menghadap satu sisi sahaja. Ibu boleh mengubah posisi tempat tidur bayi agar dia terbiasa untuk berubah posisi tidur dan membantu bayi mengubah arah pandangan dari sisi kanan ke sisi kiri atau sebaliknya.
 
 


Monday, November 10, 2014

Tip Menyusu Di Khalayak

 
Jika dulu ibu menyusu anak dengan susu ibu masih lagi dibelenggu perasaan malu untuk menyusukan anak di khalayak. Selalunya ibu kelam kabut mencari lokasi paling selamat ketika si kecil menangis mahu menyusu. Akibatnya ibu dan bayi menjadi tidak selesa kerana terpaksa 'mencuri-curi' menyusukan anak di khalayak.
 
Namun kini situasi tersebut semakin berkurangan ekoran kebanyakan ibu menyusu sudah semakin berkeyakinan dan bangga untuk menyusukan anak dengan susu ibu walaupun di tempat awam. Apa pun ibu masih tetap menjaga maruah diri tanpa perlu menunjukkan apa yang tidak sepatutnya kepada khalayak walaupun sedang menyusukan bayi. Dengan pelbagai kemudahan aksesori menyusu yang dicipta khusus untuk ibu tugas menyusukan anak di khalayak menjadi semakin mudah tanpa masalah.
Bagi ibu baharu yang masih kekok, jadikan tip berikut sebagai pembakar semangat untuk anda terus menyusukan susu ibu di mana-mana pada bila-bila masa.
 
1. Yakin diri
 
Jangan ragu-ragu untuk melakukan penyusuan depan khalayak. Fikirkan bahawa anda mahu memberikan yang terbaik kepada bayi.
 
2. Fokus
 
Anda harus fokus kepada kebaikan semula jadi susu ibu. Perasaan malu dan tertekan akan memberi kesan kepada kelancaran pengaliran susu ibu.
 
3. Lokasi
 
Cari tempat yang tidak terlalu ramai orang untuk melakukan penyusuan. Ketika penyusuan, bayi inginkan suasana yang tenang.
 
4. Pakaian khusus
 
Sarungkan pakaian penyusuan dan gunakan poncho atau kain pendakap ketika menyususkan bayi.
 
5. Bantuan
 
Jika tidak mempunyai kain atau pakaian penyusuan, suami atau pihak ketiga boleh menjadi 'dinding' sementara saat penyusuan berjalan. Surau atau bilik menukar pakaian adalah alternatif tempat penyusuan susu ibu sekiranya tempat tersebut tidak menyediakan kemudahan bilik menyusu untuk ibu dan anak.
 
 


Tuesday, November 4, 2014

Merangsang Kepintaran Bayi

 
Pakar perkembangan bayi percaya tahun pertama kehidupan bayi tempoh utama berlakunya proses pembelajaran. Tidak perlu muzik klasik, alat pembelajaran bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya ialah individu di sekeliling si kecil itu.
Bercakap, menyanyi dan ketawa bersama antara interaksi harian yang lebih penting. Namun, kadangkala memang sukar memikirkan cara baru merangsang anak kecil (terutama sekali apabila si ibu atau bapa tidak tidur malam kerana meredakan tangisannya).

Berikut antara aktiviti menarik (berdasarkan sains) yang disarankan:

 1. Bertentang mata. Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah pada awal usia malah setiap kali dia merenung individu di hadapannya, dia sedang membina memorinya.

 2. Bercakap-cakap dengannya. Walaupun reaksi yang di berikan rupa keliru dan hairan, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap rentak perbualan dan mengisi ruang kosong yang dibiarkan senyap itu.

 3. Jika boleh, beri susu badan dan lakukan selama mana yang anda boleh. Berdasarkan fakta, kanak-kanak yang diberi susu badan mempunyai tahap kecerdasan tinggi.
Tambahan pula, susuan badan dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya.

 4. Jelirkan lidah. Kajian menunjukkan bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah – ia menandakan kaedah penyelesaian masalah pada awal usia.

 5. Hasilkan buku binatang. Sekiranya melawat taman haiwan atau zoo, ambillah gambar haiwan kesukaannya untuk di jadikan album.
Kemudian, baca buku itu bersama si kecil sambil menamakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi dan cerita haiwan.

 6. Geletek si bayi pada keseluruhan tubuhnya. Ketawa langkah pertama dalam perkembangan humor bayi. Permainan seperti ‘cak cekur’ dan ‘labah-labah panjat perigi’ dapat mengajar anak menjangka apa yang bakal berlaku.

 7. Tunjukkan perbezaan. Pegang dua keping gambar beberapa meter dari muka si kecil. Gambar itu seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin satu ada pokok dan satu lagi tiada).
Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak.

 8. Berkongsi pandangan. Bawa bayi berjalan-jalan dan beritahu semua perkara yang dilihat padanya. Cara itu boleh menyediakan bayi dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.

 9. Nyanyikan lagu untuknya. Kajian menunjukkan mempelajari ritma muzik ada kaitan dengan pembelajaran matematik.

 10. Gunakan masa menukar lampin sepenuhnya. Gunakan waktu itu untuk mengajar bahagian badan atau pakaian.

 11. Beri kata kunci. Jika anda berkata; “Ibu nak buka lampu ni,” sebelum menekan suis, si kecil itu diajar sebab dan akibat sesuatu perkara.

 12. Beri kejutan. Sesekali, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan sambil melihat reaksinya.

 13. Sediakan banyak tisu. Jika bayi suka bermain dengan tisu, biarkan. Dengan hanya beberapa sen, ia boleh dijadikan alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil pada bawah tisu dan biarkan dia mencari.

 14. Baca buku berulang kali. Saintis mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan serta membantunya mempelajari bahasa.

 15. Main sorok-sorok yang boleh membuatkannya ketawa. Bayi belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.

 16. Main dengan warna. Pilih satu warna dan suruh si bayi cari objek lain yang sama warna sewaktu berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh dia memilih warna untuk anda pula mencarinya.

 17. Biarkan dia bermain dengan makanannya. Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur berbeza termasuk kacang pis dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.

 18. Jangan lupa rehat. Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk atas lantai bersama bayi tanpa muzik, cahaya terang serta mainan. Biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.


 
 
Sumber: www.petua.org