Monday, December 22, 2014

Teknik Mengajar Anak Hisap Susu Botol

 
  Ramai ibu2 yang mempunyai masalah untuk melatih anak mereka menghisap susu botol atau menceraikan susu dari susu ibu. Ada juga ibu2 yang telah menggunakan pelbagai cara dan pelbagai jenis botol susu bagi melatih si kecil. Saya juga pernah mengalami situasi ini. Kedua-dua anak saya adalah 'breastfeeding' maka agak susah bila saya hendak meatih mereka ketika sudah sampai masa untuk menceraikan susu badan. Dari semurah2 susu dan botol hingga jenis mahal sudah saya cuba, pelbagai nasihat dan petua dari doktor, rakan dan famili telah saya cuba. Anak pertama saya sangat cerewet tentang pemakanan dan agak susah untuk saya melatih hisap susu botol. Setiap kali saya bagi susu botol dia akan buat gaya nak muntah dan menangis. Tuhan saja tahu bagaimana tekanannya seorang ibu melalui situasi seperti ini. Saya tidak dapat membayangkan jika saya bekerja dan perlu meninggalkan si kecil ada saat itu (bangga pada ibu-ibu yang bekerja di luar sana!!). Mungkin pada ketika itu adalah pengalaman pertama saya maka saya tidak arif dalam menangani situasi. Disini saya ingin kongsikan pengalaman dan tips saya dalam proses melatih si kecil.

 Antara kesilapan yang saya telah lakukan ketika melatih susu botol anak pertama :

 

1. Tidak yakin dan mudah mengalah

2. Terlalu memaksa si kecil
3. Kerap sangat bertukar puting dan susu menyebabkan si kecil bertambah keliru
4. Kurang pengalaman dalam menangani situasi

 Namun ketika anak kedua saya lebih santai dan mudah melatihnya. Ini kerana saya tidak terlalu memaksa dan cemas. Saya ingin kongsikan pengalaman dan tips saya disini, moga ia berkesan dan boleh dijadikan panduan untuk ibu-ibu diluar sana.

 

1. Bagi saya, perkara utama sekali bagaimana cara untuk kita memperkenalkan botol susu kepada si kecil. Pemilihan puting yang  seakan puting ibu@ puting yang lembut amat membantu (cth : Mimijumi botol, Comotomo dll). Pilih puting yang bersaiz kecil untuk mengelakkan bayi tercekik.

 

 

2. Jangan terus bagi dengan beranggapan dia akan hisap terus susu. Ada bayi yang boleh terima terus, dan ada yang perlukan masa. Sebaiknya biar die bermain2 dengan puting dan botol susu tersebut. Dalam proses ni memang ibu kene sabar dengan karenah anak dan susu memang akan meleleh2. Buat sikit jer tengok bagaimana penerimaan dia. Kalau kita terlalu memaksa, nanti apabila tengok kita pegang botol jer die menangis dah. Jadi jangan bagi tekanan pada mereka. Bagi mereka masa, jika ibu tertekan anak akan merasai perasaan si ibu. 



 

3. Perlu latihan berulangkali. Bagi tempoh masa, paling sesuai bila bayi lapar (jangan pula terlalu lapar). Boleh juga setkan masa waktu siang untuk latihan botol susu dan malam breastfeeding. Seeloknya bukan si ibu yang melatih, biar orang lain kerana si kecil boleh mengenal bau susu si ibu. 

 
 
4. Jangan mengalah. Tabahkan hati. Masa bagi tu niat dan katakan yang baik2 dengan si kecil. 



 

5. Boleh juga menggunakan cara ni : ketika si kecil hisap susu, boleh tarik perlahan dan tukar kepada botol. Tarik sedikit supaya bayi akan terpaksa minum. Kemudian biarkan seketika dan ulanginya. Pastikan bayi dipangku agar mengelakkan bayi tersedak susu.



Selamat mencuba! ;)
 
 




 











Thursday, December 18, 2014

11 Tips Membantu Percepatkan Sembuh Luka Ceasarean

 
Sekiranya anda menjalani pembedahan Ceasarean, penjagaannya agak berbeza kerana luka anda adalah pada perut dan bukannya pada vagina. Luka akibat pembedahan memerlukan lebih penjagaan dan perhatian rapi kerana jahitannya lebih besar serta dalam berbanding luka episiotomi.
 
Berikut adalah tip-tip mudah yang boleh anda amalkan untuk memastikan luka pembedahan pulih dengan cepat, iaitu;

1. Bergerak lebih awal
 
Menurut kajian, sebarang pergerakan yang dilakukan selepas menjalani pembedahan besar boleh membantu percepatkan penyembuhan luka dan mengurangkan risiko darah beku.  Anda tidak seharusnya berfikir bahawa benang jahitan akan terbuka sekiranya anda bergerak kerana ia sangat jarang berlaku. Pastikan anda mendapatkan bantuan ahli keluarga atau jururawat ketika anda ingin melakukan sebarang pergerakan yang besar terutama pada beberapa hari awal selepas pembedahan.
 
2. Makan makanan berzat dan seimbang
 
Anda kehilangan bendalir tubuh, mineral dan protin dengan banyak selepas bersalin dan anda perlu menggantikannya dengan kadar segera sekiranya anda ingin cepat pulih. Makan makanan yang mengandungi banyak protin seperti daging, ayam, ikan dan buah- buahan kerana ia kaya dengan mineral. Manakala sayur- sayuran pula kaya dengan vitamin. Jangan terpedaya dengan cakap orang tentang makanan sejuk dan panas, kerana ia tidak ada dalam istilah sains. Sebagai contoh, bayam dan lobak merah mengandungi antioxidant berupaya membuang toksin dalam tubuh. Brokoli dan kangkung mengandungi zat besi yang berupaya meningkatkan tahap hemoglobin anda.
 
3. Minum air secukupnya
 
Air adalah agen pembuang toksin dalam badan dan jangan percaya kepada mitos yang mengatakan minum terlebih air boleh menyebabkan faraj berair dan rahim kembang. Kekurangan air boleh menyebabkan sembelit dan menyukarkan proses kumuhan. Ini memberikan tekanan pada perut dan tempat luka serta menyebabkan anda menjadi sakit. Minum sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.
 
4. Elak daripada mengambil ubat tradisional
 
Tidak semua ubat tradisional selamat dan ada yang boleh memberikan kesan sampingan seperti mengurangkan kecutan rahim dan menyebabkan pendarahan faraj yang banyak. Ada pula yang mengandungi bahan kimia yang boleh memberikan tekanan kepada buah pinggang anda. Pastikan anda mendapatkan nasihat doktor dahulu sekiranya ingin mengambil sebarang ubat tradisional yang disarankan oleh kawan atau keluarga anda.

5. Mengambil suplemen zat besi dan multivitamin
 
Semasa pembedahan, anda kehilangan darah yang banyak iaitu 2-3 kali lebih tinggi daripada bersalin normal. Kehilangan darah menyebabkan perjalanan oksigen ke sel tubuh menjadi kurang dan ini menyebabkan luka lambat sembuh. Amalan memakan suplemen zat besi dan multivitamin dapat meninggikan tahap hemoglobin dengan lebih cepat seterusnya mempercepatkan tempuh pemulihan anda.
 
6. Makan pil penahan sakit
 
Sakit keterlaluan menyebabkan anda tidak selesa dan mengurangkan keinginan untuk menyusukan bayi dan bergerak. Dapatkan ubat penahan sakit yang secukupnya untuk memastikan anda berasa selesa dan lebih senang untuk bergerak.
 
7. Menyusu badan secara eksklusif
 
Menyusu badan sudah terbukti dapat menyembuhkan luka dengan cepat. Setiap kali menyusu, badan akan mengeluarkan hormon oxytocin yang menolong mengecutkan rahim dan mengurangkan risiko tumpah darah. Terdapat teknik-teknik menyusu yang sesuai yang boleh anda pelajari dari jururawat dan bidan hospital. Anda juga boleh mendapatkan tip menyusu dari kawan yang pernah melahirkan secara pembedahan.
 
8. Pastikan luka kering dan bersih
 
Biarkan luka terdedah kepada udara atau gunakan alat pengering rambut sekiranya perlu. Jangan menggaru pada luka atau menyapu sebarang ubat tanpa saranan doktor. Ini kerana ia boleh meninggikan risiko  jangkitan kuman.
 
9. Pakai bengkung
 
Anda boleh menggunakan ‘binder’ atau bengkung sekiranya mahu. Ia selamat dan digalakkan untuk mengurangkan sakit terutamanya semasa batuk dan bersin. Perut anda juga mudah kempis kerana ia bertindak mengurangkan angin di dalam usus. Ia juga menolong mengurangkan sakit belakang dengan memberikan sokongan pada tulang belakang anda. Pakai bengkung yang lembut dan berasaskan dari kain. Elok dipakai satu minggu selepas pembedahan.
 
10. Elak aktiviti yang boleh mendatangkan kesakitan
 
Aktiviti seperti menaiki tangga atau membongkok boleh membuatkan anda berasa lebih sakit. Oleh itu, elakkan daripada melakukan aktiviti tersebut sekurang-kurangnya satu minggu selepas pembedahan.
 
11. Dapatkan bantuan ahli keluarga
 
Sokongan daripada suami dan ahli keluarga lain sangat penting semasa anda menjalani tempoh berpantang. Mintalah bantuan daripada mereka sama ada dari segi fizikal dan emosi sekiranya perlu kerana anda baru sahaja menjalani pembedahan yang besar. Anda tidak boleh melakukannya sendirian.
 

Tanda-tanda amaran atau serius selepas caesarean;

1. Demam berterusan.

2. Sakit pada tempat luka.
 
3. Pendarahan yang banyak, berterusan dan berketul dari faraj.
 
4. Keluar nanah dari tempat luka.

5. Tanda kemerahan pada sekitar luka.

6. Keluar air jernih dari tempat luka.
 
7. Tempat luka nampak berlubang atau bengkak.

8. Benang jahitan keluar dari luka atau terbuka.

** Sekiranya anda mengalami tanda-tanda sebegini, eloklah berjumpa doktor dengan segera.


Wednesday, December 17, 2014

5 Tips Menyusu Semasa Hamil

 

Ketahui Fakta

Susu ibu bukanlah sumber tenaga utama bayi selepas usianya 6 bulan. Jika ibu mendapati dirinya mengandung selepas usia anak melebihi 6 bulan, ibu tidak perlu gusar tentang nutrisi untuk anak kecilnya. Ianya masa yang sesuai untuk anak belajar untuk menerima nutrien daripada makanan yang berkhasiat.

Penyusuan susu ibu masih diteruskan demi memenuhi keperluan emosi kedua-dua pihak dan ianya masih menyumbang kepada nutrisi hariannya. Selain itu, penyusuan susu ibu tidak mempunyai kaitan dengan keguguran juga perlu diketahui oleh ibu. Dapatkan lebih informasi mengenainya daripada konsultan atau kaunselor laktasi anda.

Rasa Sakit Pada Puting

 Kebanyakan ibu rasa tidak selesa pada bahagian puting setiapkali sesi penyusuan. Ini kerana puting menjadi lebih 'fragile' dan membesar semasa mengandung demi persediaan untuk penyusuan anak di dalam kandungan. 

Ibu boleh mengalihkan perhatian daripada rasa sakit dengan cara melakukan perkara lain ketika menyusukan seperti membaca majalah atau menonton tv. Ketahui bahawa rasa sakit pada bahagian puting tersebut adalah untuk menjadikan puting lebih 'tough' untuk penyusuan bayi seterusnya.

Posisi yang selesa

Berikutan pertambahan saiz pada bahagian perut dan keadaan fizikal yang kurang mengizinkan, ibu perlu menyesuaikan posisi penyusuan mengikut keselesaan. Posisi mengiring dan meletakkan sebiji bantal pada bahagian belakang badan mungkin membantu!

Nikmati Momen Penyusuan
Tangan kecil yang meraba perut anda semasa menyusu adalah antara momen indah sepanjang membesarkan si kecil. Berkomunikasi dengannya (walaupun ketika sedang menyusukan!) bahawa mama sedang mengandungkan adiknya di dalam perut supaya dia boleh mempunyai kawan bermain. Dia memahami setiap apa yang ibunya rasa bermula sejak dia berada didalam perut lagi!
 
Tanamkan Azam Untuk Tandem Nursing
Tandem Nursing ialah menyusukan anak ketika sedang hamil seterusnya menyusukan kedua duanya (atau mungkin lebih) selepas bayi lahir. Kelebihan tandem nursing ialah antaranya hubungan antara kedua dua anak yang lebih erat apabila mereka pernah berkongsi sesuatu yang ‘penting’ apatah lagi susu ibu! Selain itu, tandem nursing juga membantu emosi ibu selepas melahirkan dan emosi anak yang lebih besar sebaik sahaja menerima kehadiran ‘orang baru’ dalam rumahnya. Dia tidak ketinggalan dalam apa apa jua aktiviti ibu dan bayi baru.
Tandem nursing selepas melahirkan turut membantu ibu mengurangkan risiko bengkak susu dimana anak yang lebih besar mempunyai lebih kemahiran untuk ‘membantu’ ibu mengosongkan payudara.

Tips Pengekalan Susu Semasa Hamil
Tidak dinafikan terdapat perubahan pada kuantiti susu ibu semasa ibu mengandung. Bahagian dalam payudara ibu hamil mempunyai kurang keupayaan untuk menyimpan susu yang menyebabkan kuantitinya tidak lagi sebanyak sebelum itu.
Percaya pada rezeki, penyusuan susu ibu adalah lebih kepada kualiti berbanding kuantiti (pada usia anak melebihi 6 bulan).
Teruskan penyusuan susu ibu semasa anda bersama anak dan antara tips yang boleh digunakan ialah:
 
‘Sediakan Air Kosong Untuk Anak’
 
Komposisi susu ibu yang hamil yang mengandungi lebih sodium akan menyebabkan perubahan rasa iaitu sedikit masin yang menyebabkan anak berasa dahaga walaupun selepas menyusu.

Selamat meneruskan penyusuan semasa hamil kerana ianya bukan perkara yang bertentangan dengan penyusuan susu ibu. Rasa bahagia kerana kehamilan anda ‘ditemani’ si kecil juga adalah anugerah!
 
 







Tuesday, December 16, 2014

Ibu Salah Makan Bayi Alergi


Apa yang ibu makan itulah yang akan dinikmati oleh bayi yang menyusu susu ibu sepenuhnya. Oleh itu kebanyakan ibu menyusu sangat berwaspada terhadap apa yang dimakan. Namun, kadang kala ibu tidak tahu makanan tersebut yang membuatkan si anak alergi. Tetapi ada cara untuk mengelakkannya.
Bayi yang minum susu ibu secara eksklusif bukan sepenuhnya bebas daripada masalah alergi tetapi ia bukan disebabkan oleh susu ibu yang diminum sebaliknya makanan yang dimakan oleh ibu.
Makanan yang dimakan oleh ibu menyusu akan masuk ke dalam aliran darah ibu dan boleh membuatkan alahan kepada bayi tersebut. Oleh itu jika bayi anda didapati mengalami sesetengah alergi, jangan hentikan pemberian susu ibu sebaliknya ibu yang perlu bijak memilih jenis makanan yang tidak menyebabkan reaksi alergi kepada bayinya.
Beberapa makanan yang mudah menyebabkan alergi melalui susu ibu adalah susu lembu, kacang tanah dan makanan laut. Namun bukan bermaksud anda perlu terus menghentikan pengambilan makanan tersebut sepanjang menyusu kerana anda berdua masih memerlukan khasiat yang ada dalam makanan tersebut.
Mungkin ibu perlu mengelakkan makan makanan yang menyebabkan alergi secara serentak atau ‘berpantang’ makan makanan tersebut dalam tempoh masa tertentu dan sekiranya anda ingin memakannya pastikan dalam kuantiti yang sedikit.
Ada beberapa tanda yang boleh diperhatikan jika bayi mengalami alergi:
*Ruam pada kulit. Bintik-bintik merah di kawasan pipi bayi menandakan petunjuk awal bayi mengalami alergi terutama jika belum hilang dalam jangka masa yang lama.
*Selesema. Ia berbeza dengan selesema biasa. Bayi yang mengalami selesema akibat alergi akan mengeluarkan cairan yang cair dari hidungnya. Sementara bayi yang mengalami selesema biasa mengeluarkan cecair kental dan kadang kala berwarna hijau dari hidung.
*Buang air besar berdarah. Apabila alergi sudah mengganggu saluran pencernaan, bayi akan membuang air besar berdarah. Ia biasa berlaku dalam kalangan bayi berusia dua hingga enam minggu.
*Cirit dan muntah. Sekiranya masalah alergi tidak dikenal pasti puncanya dan ibu tidak sedar anak sedang mengalami alergi, bayi cenderung mengalami cirit birit dan muntah.
Oleh itu ibu perlu berwaspada memerhatikan tanda-tanda awal yang ditunjukkan oleh reaksi tubuh si kecil yang mengalami alergi.

Sumber : www.pama.karangkraf.com

Sunday, December 14, 2014

Mengira Waktu Subur


Kehamilan adalah perkara yang ditunggu-tunggu oleh pasangan suami isteri. Keinginan memiliki cahaya mata untuk melengkapkan rumah tangga yang dibina sangat tinggi.
Namun ada kalanya pasangan gagal hamil dalam tempoh masa yang dijangkakan. Kegagalan untuk hamil kadang kala disebabkan kesilapan menghitung waktu subur.

Kehamilan boleh terjadi apabila hubungan intim dilakukan pada masa ovulasi atau saat wanita sedang subur. Apabila sperma suami dipancut ke dalam rahim, ia akan berenang ke arah ovum (telur) si isteri.
 Hamil adalah saat di mana berlakunya persenyawaan antara telur dan sperma dalam rahim wanita sampai tempoh matang sembilan bulan untuk melahirkan seorang bayi.

Kekecewaan akibat kegagalan hamil ada kalanya menimbulkan tekanan yang mendalam kepada pasangan suami isteri. 
Sebenarnya banyak faktor yang membuatkan  mereka sukar untuk hamil bermula daripada masalah kesuburan, tahap psikologi, ketidakstabilan hormon dan lain-lain.
 Namun ada kalanya kehamilan tidak berjaya kerana mereka melakukan hubungan seksual pada masa yang tidak tepat. Pasangan tidak mengetahui, bila waktu subur wanita sehingga kesempatan untuk terjadi ovulasi semakin besar.

Mengetahui waktu subur sangat besar ertinya bagi mereka yang ingin hamil dan bagi yang ingin menunda kehamilan. Bagi yang menginginkan kehamilan, masa subur boleh dijadikan panduan untuk melakukan hubungan seksual kerana ketika ini ovulasi sedang terjadi sehingga peluang untuk hamil sangat besar. 
Sedangkan bagi yang mahu menunda kehamilan, masa subur merupakan masa yang harus dielakkan daripada melakukan hubungan seksual untuk mencegah terjadinya kehamilan.

Banyak cara dan kaedah yang dapat digunakan untuk mengetahui bila waktu subur tersebut, iaitu:

Sistem kalendar

Menentukan masa subur dengan menggunakan sistem kalendar ada dua cara iaitu :

Bagi yang kitaran haidnya teratur, masa subur berlangsung 14 +/- 1 hari haid berikutnya. Maksudya masa subur berlaku pada hari ke-13 sehingga hari ke-15 sebelum tarikh haid yang akan datang.

Bagi wanita yang kitaran haidnya tidak teratur maka penting untuk mencatat panjang kitaran haid sekurang-kurangnya selama enam kitaran. Jumlah hari pada kitaran terpanjang, hendaklah ditolak  dengan 11 dan akan diperoleh hari subur terakhir dalam kitaran haid tersebut. Sedangkan dari jumlah hari pada kitaran terpendek ditolak 18, diperoleh hari subur pertama dalam kitaran haid tersebut.

Contohnya: Kitaran terpanjang = 31, sedangkan kitaran terpendek = 26, maka waktu subur dapat dihitung, 31 - 11 = 20, dan 26 -18 = 8, jadi masa subur berlangsung pada hari ke-8 sampai hari ke-20.

Penggunaan alat

Banyak alatan atau software yang terdapat dipasaran dicipta untuk menghitung waktu subur.  Dalam alat tersebut anda hanya perlu memasukkan tarikh Hari Pertama Haid Terakhir (HPHT). Setelah itu akan muncul tarikh perkiraan waktu subur seseorang.

Sumber : www.pama.karangkraf.com

Thursday, December 11, 2014

Waktu Paling Tepat Minum Air Putih dan Manfaatnya


Air putih memiliki peranan yang sangat penting, salah satunya sebagai penetralisir racun yang mengendap pada tubuh kita.Tapi tahukah Anda, ternyata ada waktu yang paling tepat minum air putih agar badan tetap fit dan fresh. Minum air putih akan sangat bermanfaat pada waktu-waktu berikut: 


# Setelah Bangun Tidur - Minumlah setidaknya 2 gelas air putih saat baru bangun dari tidur, karena waktu ini bermanfaat untuk membantu organ-organ tubuh internal agar lebih aktif.

# 30 Menit Sebelum Makan – Minumlah segelas air putih pada waktu ini karena dapat bermanfaat membantu pencernaan & ginjal bekerja lebih optimal.

# 20-30 menit Setelah makan – Segelas air putih 20-30 menit setelah makan akan memperlancar proses pencernaan makanan.jika sobat setelah makan ingin minum air putih cukup satu sampai dua teguk dulu sebagai pernghilang rasa haus.

# Sebelum Mandi – Minumlah segelas air putih karena bermanfaat untuk menurunkan tekanan darah

# Sebelum Tidur – Minumlah segelas air putih pada waktu ini karena sangat bermanfaat untuk menghindari stroke atau serangan jantung.


Friday, November 28, 2014

Tip Menjelang Isteri Bersalin

 
Biasanya bakal mama yang sibuk menyiapkan persiapan diri sendiri dan bakal anak. Bagaimana pula dengan bakal papa? Menjelang isteri bersalin, apa yang sepatutnya dipersiapkan oleh bakal papa supaya proses melahirkan anak tidak membuatnya menjadi panik.
 
Berikut beberapa tip yang mungkin boleh dijadikan panduan terutama kepada yang bakal melaluinya buat pertama kali.
 
Tanda tarikh jangkaan bersalin isteri
 
Pastikan anda telah menanda tarikh jangkaan bersalin isteri di kalender peribadi anda. Jangan buat-buat lupa atau sengaja tidak mengambil tahu tentang hal penting ini. Kini dengan pelbagai teknologi ‘peringatan’ yang ada dalam telefon pintar, bukan lagi alasan anda tidak ingat tarikh penting tersebut.  Buat awal senarai apa yang mesti dipersiapkan untuk menyambut kelahiran anak supaya anda tidak panik jika tiba-tiba isteri bersalin awal daripada tarikh jangkaannya.
 
Rancang cuti
 
Rancang cuti kerja anda menjelang saat isteri bersalin. Ketahuilah yang isteri anda mahukan anda sentiasa ada di sisi untuk menemaninya sepanjang menjelang proses bersalin. Peruntukan cuti untuk menemankan isteri sebelum, semasa dan selepas bersalin (sekurang-kurangnya seminggu selepas bersalin).
 
Simpan nombor kecemasan
 
Bukan hanya isteri sahaja yang perlu menyimpan nombor-nombor kecemasan iaitu nombor telefon doktor dan hospital tempat melakukan pemeriksaan antenatal. Suami juga perlu menyimpannya supaya mudah digunakan tatkala kecemasan.
 
Mencari pengasuh bayi
 
Sebagai bakal papa, jangan serahkan tugas mencari pengasuh bayi kepada isteri sahaja. Tidak salah jika anda juga sama-sama mencari maklumat agar boleh saling berbincang mana yang terbaik untuk bayi anda. Sebaiknya bincangkan ia sebelum tarikh jangkaan bersalin isteri supaya anda sepakat membuat pemilihan.
 
 


Cara Membersihkan Tilam Kencing Si Kecil

 
1) Serap sebanyak mungkin air kencing dengan tuala. Bagaimanapun jangan menekan terlalu kuat kerana ia akan menggalakkan air kencing terserap jauh ke dalam tilam.
 
2) Tabur kawasan tompokan pada tilam dengan serbuk penaik bagi membantu menyerap lembapan dan menyerap bau.
 
3) Vakum serbuk penaik setelah dibiarkan selama sejam.
 
4) Buat larutan campuran cuka dan air. Isi ke dalam botol semburan dan semburkan pada tompokan air kencing tadi. Seterusnya gunakan kain untuk membersihkan kesan tompokan tersebut. Cuka membantu menyegarkan fabrik, dan juga menghilangkan bau.
 
5) Jemur tilam di bawah sinar matahari. Sinar matahari sangat efektif dalam menghilangkan bau dan membunuh kuman. Jika cuaca tidak mengizinkan, sandarkan ia di bawah kipas sehingga kering.
 
 ~ Selamat Mencuba ~


Monday, November 17, 2014

Kebaikan Mengalami Morning Sickness

 
Bagi bakal ibu yang mengalami morning sickness atau alahan teruk di awal kehamilan, ia adalah pengalaman yang paling tidak menyeronokkan. Rasanya seperti hendak segera menghabiskan tempoh masa tiga bulan pertama kehamilan.
 
Tak sanggup menanggung ketidakselesaan akibat muntah, loya, hilang selera makan, mengantuk dan hilang upaya untuk melakukan tugas harian seperti sebelum disahkan hamil. Memang benar, morning sickness adalah satu gejala yang amat tidak selesa untuk dilalui oleh bakal ibu namun tahukah anda sebenarnya anda adalah ibu yang bertuah berbanding mereka yang langsung tidak mengalami morning sickness. Mengapa?
 
Hakikatnya morning sickness mempunyai kesan positif tersendiri kepada ibu hamil. Ini kerana ibu hamil yang mengalami morning sickness mempunyai peluang sebanyak 80% lebih rendah untuk mengalami keguguran di awal kehamilan berbanding ibu hamil yang sihat tanpa sebarang gejala morning sickness.
 
Bahkan dalam kajian yang dilakukan juga mendapati terdapat hubung kait antara morning sickness dengan risiko untuk kelahiran bayi pramatang. Fakta menarik yang ditemui juga mendapati ibu hamil yang mengalami gejala morning sickness di awal kehamilan boleh merangsang bayi dalam kandungan berpotensi memiliki kecerdikan lebih baik terutama dalam bidang memori bernombor dan kefasihan lisan.
 
Gejala morning sickness berlaku juga disebabkan oleh peningkatan kadar hormon hCG Beta dan lebih tinggi daripada progesterone dan estrogen ketika hamil. Jadi, kepada ibu hamil yang sedang melalui morning sickness, banyakkan bersabar dan fikirkan yang positif kerana anda sebenarnya bakal ibu yang sangat bertuah.
 
 


Thursday, November 13, 2014

IQ Tinggi Bila Rapat Dengan Ayah

 
Biasanya ibu akan menjadi orang yang paling sibuk sekali apabila anak menghadapi ujian persekolahan. Ibu akan seboleh mungkin membantu anak ketika belajar kerana mahu si kecil mendapat keputusan cemerlang. Tetapi hakikatnya peranan ayah tidak kurang penting dalam mendampingi anak belajar.
 
Bimbingan terus daripada ayah dalam proses pembelajaran dapat memberi kesan positif pada perkembangan fizikal, kognitif, emosi dan sikap anak. Anak sememangnya mencari keselesaan daripada seorang ibu, namun ia tetap memerlukan interaksi yang intensif dengan ayah.
 
Ada sebuah kajian yang dilakukan oleh University Oxford menunjukkan bahawa ada kaitan antara perhubungan rapat ayah dan anak dan pencapaian akademiknya di sekolah. Dikatakan anak yang banyak berinteraksi dengan ayah mempunyai IQ lebih tinggi berbanding anak yang kurang berinteraksi dengan ayahnya.
 
Bahkan, mereka juga memiliki kemampuan berbahasa dan kognitif yang lebih baik. Kajian lain juga mendapati anak yang dididik dengan sempurna oleh ayah mempunyai kurang masalah di sekolah dan apabila meningkat dewasa.
Maka jelaslah bahawa ayah mempunyai peranan penting dalam kemampuan akademik anak. Oleh itu ibu dan ayah perlu saling bekerjasama membahagi tugas untuk membimbing si kecil menghadapi ujian.
 
Ayah bukan sekadar membantu anak mengulang kaji pelajaran tetapi menyiapkan mental si kecil agar lebih yakin untuk menghadapi ujian tersebut. Karektor ayah yang berbeza dengan ibu tentu dapat mencipta corak pembelajaran yang berbeza berbanding ibu. Ciptakan suasana ceria dan menyeronokkan agar anak lebih bersemangat untuk belajar.
 
Mungkin anda berdua boleh bermain kuiz mengenai pelajaran yang dipelajari berbanding sekadar membaca yang tentu boleh membosankan si kecil. Pelbagai kreativiti boleh dicipta bagi menimbulkan suasana menyeronokkan semasa belajar. Jelas sekali interaksi ayah memainkan peranan penting dalam membantu pencapaian positif si anak di sekolah.
 
 


Tuesday, November 11, 2014

Kelahiran Pengaruhi Bentuk Kepala Bayi

 
Apabila melihat bayi baharu lahir, tentu anda pernah tertanya-tanya mengapa bentuk kepala bayi semuanya berbeza. Ada yang berbentuk bulat dan ada yang lonjong. Benarkah proses bersalin mempengaruhi bentuk kepala bayi?
Sememangnya bentuk kepala bayi baharu lahir yang berbeza-beza dipengaruhi oleh proses bersalin yang dilalui oleh ibu. Perbezaan bentuk kepala bayi memang disesuaikan dengan bentuk dan ukuran ketika lahir, saat dia masuk ke laluan kelahiran. Ini kerana tengkorang bayi terdiri daripada beberapa tulang lembut yang belum sempurna.
 
Bagi ibu yang melalui proses bersalin secara semula jadi, ketika bayi masuk ke saluran kelahiran yang sempit, tulang-tulang tersebut akan disesuaikan mengikut ukuran kepala. Bentuk kepala bayi pun boleh menjadi memanjang atau lonjong kerana disesuaikan dengan bentuk jalan kelahiran. Tetapi ibu tidak perlu bimbang, kerana biasanya beberapa hari kemudian, bentuk kepala bayi akan kembali ke bentuk asal.
 
Bagaimanapun bayi yang dilahirkan secara pembedahan caesarean tidak akan mengalami bentuk kepala yang lonjong. Proses bersalin secara pembedahan tidak melalui jalan kelahiran semula jadi dan tidak menyesuaikan dengan bentuk saluran kelahiran. Oleh itu bayi ini mempunyai bentuk kepala yang bulat.
 
Ada juga bayi yang melalui proses bersalin normal dengan bantuan alat seperti vakum untuk menarik kepala keluar, mempunyai bentuk kepala seperti bengkak (benjolan) tetapi ia bersifat sementara sahaja.
 
Posisi tidur bayi baharu lahir turut boleh menyebabkan perubahan bentuk kepalanya. Oleh itu sebaiknya ibu mengubah posisi tidur bayi. Misalnya, ketika bayi sudah tidur, tiarapkan bayi kerana kepalanya boleh menjadi bentuk bulat.
Jika anda terbiasa menidurkan bayi dengan menggunakan penggendong bayi, ia juga antara faktor penyebab kepala bayi tidak bulat. Untuk mencegahnya, ibu boleh merenggangkan ikatan gendongan ketika menidurkan bayi. Ubah posisi agar tidak terlalu lama pada posisi yang sama tetapi pastikan sentiasa menjaga keselamatan bayi.
 
Ketika bayi tidur, elakkan daripada dia hanya menghadap satu sisi sahaja. Ibu boleh mengubah posisi tempat tidur bayi agar dia terbiasa untuk berubah posisi tidur dan membantu bayi mengubah arah pandangan dari sisi kanan ke sisi kiri atau sebaliknya.
 
 


Monday, November 10, 2014

Tip Menyusu Di Khalayak

 
Jika dulu ibu menyusu anak dengan susu ibu masih lagi dibelenggu perasaan malu untuk menyusukan anak di khalayak. Selalunya ibu kelam kabut mencari lokasi paling selamat ketika si kecil menangis mahu menyusu. Akibatnya ibu dan bayi menjadi tidak selesa kerana terpaksa 'mencuri-curi' menyusukan anak di khalayak.
 
Namun kini situasi tersebut semakin berkurangan ekoran kebanyakan ibu menyusu sudah semakin berkeyakinan dan bangga untuk menyusukan anak dengan susu ibu walaupun di tempat awam. Apa pun ibu masih tetap menjaga maruah diri tanpa perlu menunjukkan apa yang tidak sepatutnya kepada khalayak walaupun sedang menyusukan bayi. Dengan pelbagai kemudahan aksesori menyusu yang dicipta khusus untuk ibu tugas menyusukan anak di khalayak menjadi semakin mudah tanpa masalah.
Bagi ibu baharu yang masih kekok, jadikan tip berikut sebagai pembakar semangat untuk anda terus menyusukan susu ibu di mana-mana pada bila-bila masa.
 
1. Yakin diri
 
Jangan ragu-ragu untuk melakukan penyusuan depan khalayak. Fikirkan bahawa anda mahu memberikan yang terbaik kepada bayi.
 
2. Fokus
 
Anda harus fokus kepada kebaikan semula jadi susu ibu. Perasaan malu dan tertekan akan memberi kesan kepada kelancaran pengaliran susu ibu.
 
3. Lokasi
 
Cari tempat yang tidak terlalu ramai orang untuk melakukan penyusuan. Ketika penyusuan, bayi inginkan suasana yang tenang.
 
4. Pakaian khusus
 
Sarungkan pakaian penyusuan dan gunakan poncho atau kain pendakap ketika menyususkan bayi.
 
5. Bantuan
 
Jika tidak mempunyai kain atau pakaian penyusuan, suami atau pihak ketiga boleh menjadi 'dinding' sementara saat penyusuan berjalan. Surau atau bilik menukar pakaian adalah alternatif tempat penyusuan susu ibu sekiranya tempat tersebut tidak menyediakan kemudahan bilik menyusu untuk ibu dan anak.
 
 


Tuesday, November 4, 2014

Merangsang Kepintaran Bayi

 
Pakar perkembangan bayi percaya tahun pertama kehidupan bayi tempoh utama berlakunya proses pembelajaran. Tidak perlu muzik klasik, alat pembelajaran bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya ialah individu di sekeliling si kecil itu.
Bercakap, menyanyi dan ketawa bersama antara interaksi harian yang lebih penting. Namun, kadangkala memang sukar memikirkan cara baru merangsang anak kecil (terutama sekali apabila si ibu atau bapa tidak tidur malam kerana meredakan tangisannya).

Berikut antara aktiviti menarik (berdasarkan sains) yang disarankan:

 1. Bertentang mata. Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah pada awal usia malah setiap kali dia merenung individu di hadapannya, dia sedang membina memorinya.

 2. Bercakap-cakap dengannya. Walaupun reaksi yang di berikan rupa keliru dan hairan, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap rentak perbualan dan mengisi ruang kosong yang dibiarkan senyap itu.

 3. Jika boleh, beri susu badan dan lakukan selama mana yang anda boleh. Berdasarkan fakta, kanak-kanak yang diberi susu badan mempunyai tahap kecerdasan tinggi.
Tambahan pula, susuan badan dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya.

 4. Jelirkan lidah. Kajian menunjukkan bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah – ia menandakan kaedah penyelesaian masalah pada awal usia.

 5. Hasilkan buku binatang. Sekiranya melawat taman haiwan atau zoo, ambillah gambar haiwan kesukaannya untuk di jadikan album.
Kemudian, baca buku itu bersama si kecil sambil menamakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi dan cerita haiwan.

 6. Geletek si bayi pada keseluruhan tubuhnya. Ketawa langkah pertama dalam perkembangan humor bayi. Permainan seperti ‘cak cekur’ dan ‘labah-labah panjat perigi’ dapat mengajar anak menjangka apa yang bakal berlaku.

 7. Tunjukkan perbezaan. Pegang dua keping gambar beberapa meter dari muka si kecil. Gambar itu seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin satu ada pokok dan satu lagi tiada).
Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak.

 8. Berkongsi pandangan. Bawa bayi berjalan-jalan dan beritahu semua perkara yang dilihat padanya. Cara itu boleh menyediakan bayi dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.

 9. Nyanyikan lagu untuknya. Kajian menunjukkan mempelajari ritma muzik ada kaitan dengan pembelajaran matematik.

 10. Gunakan masa menukar lampin sepenuhnya. Gunakan waktu itu untuk mengajar bahagian badan atau pakaian.

 11. Beri kata kunci. Jika anda berkata; “Ibu nak buka lampu ni,” sebelum menekan suis, si kecil itu diajar sebab dan akibat sesuatu perkara.

 12. Beri kejutan. Sesekali, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan sambil melihat reaksinya.

 13. Sediakan banyak tisu. Jika bayi suka bermain dengan tisu, biarkan. Dengan hanya beberapa sen, ia boleh dijadikan alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil pada bawah tisu dan biarkan dia mencari.

 14. Baca buku berulang kali. Saintis mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan serta membantunya mempelajari bahasa.

 15. Main sorok-sorok yang boleh membuatkannya ketawa. Bayi belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.

 16. Main dengan warna. Pilih satu warna dan suruh si bayi cari objek lain yang sama warna sewaktu berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh dia memilih warna untuk anda pula mencarinya.

 17. Biarkan dia bermain dengan makanannya. Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur berbeza termasuk kacang pis dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.

 18. Jangan lupa rehat. Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk atas lantai bersama bayi tanpa muzik, cahaya terang serta mainan. Biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.


 
 
Sumber: www.petua.org