Monday, July 14, 2014

Bolehkah Anak Umur 2 Tahun Lebih Menyusu Badan?


Soalan:

“Assalamualaikum doktor. Anak saya sudah 2 tahun 4 bulan dan masih menyusu badan. Kalau anak bersama saya dia tak mahu susu botol. Adakah dibenarkan dalam Islam doktor? Bukankah digalakkan sehingga berumur dua tahun saja?”

Jawapan:

“Wa’alaikummussalam.
Menurut kaedah Islam, tidak ada masalah menyusukan anak lebih dari dua tahun, jika perkara itu tidak mendatangkan mudharat kepada bayi, dan dengan persetujuan suami dan isteri.

Cuma kebiasaannya, anak apabila sampai umur dua tahun, dia memerlukan makanan tambahan yang lain. Dalam al-Quran dari surah al-Baqarah ayat 233:


Maksudnya: “Dan para ibu itu menyusukan anak-anak mereka selama sempurna dua tahun, bagi sesiapa yang menyempurnakan susuan.”
Ayat ini hanya berupa panduan dan bukan menunjukkan suatu kewajipan yang membawa dosa jika menyalahinya.

Al-Imam al-Qurtubiy ketika menafsirkan ayat 233 dari surah al-Baqarah di atas menyatakan: “Tambahan lebih dari dua tahun (menyusukan anak) atau menguranginya (tempoh tersebut), boleh jika tidak ada kemudharatan kepada bayi dan dengan kerelaan suami dan isteri.”

Cuma ada sebahagian ulama seperti Ibn Asyur yang berpandangan tidak perlu ditambah susuan lebih dari dua tahun kerana perbuatan ini tidak ada keperluan lagi.

Dari segi perubatan, penyusuan jangka panjang (atau disebut extended breastfeeding) adalah apabila seorang ibu menyusukan bayi mereka selepas dua tahun pertama. Kebanyakan ibu-ibu teruama di Eropah yang memahami kepentingan penyusuan susu ibu, hanya akan menghentikan anak antara dua tahun hingga empat tahun.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri menasihati ibu-ibu untuk menyusukan selama dua tahun.

Walaupun bayi puan mula mendapat makanan dari makanan pejal, susu ibu masih merupakan makanan yang terbaik kerana menyediakan antibody secara semulajadi nutrient dan vitamin.
Bayi dan kanak-kanak kecil yang mendapat susu ibu jarang mendapatkan sakit berbanding dengan bayi yang tidak mendapat susu ibu.
Jika anak puan sedang sakit, galakkan mereka menyusu ibu kerana ia akan membantu melawan penyakit yang dihadapi.

Saya menasihatkan puan agar meneruskan penyusuan selagi anak puan belum bersedia untuk menghentikan penyusuan. Penyusuan ibu bukan saja merapatkan hubungan emosi antara ibu dan anak, malah ia membentuk keyakinan diri pada anak puan.

Tidak perlu mendengar komen-komen negative terhadap penyusuan ibu kepada anak yang melebihi umur dua tahun, kerana penyusuan itu dibenarkan syara’ dan memberi manfaat pada bayi dan anak puan.


Puan juga akan merasa lebih tenang ketika menyusukan bayi kerana ketika itu hormone prolactin dan oxytocin akan keluar dengan banyak dan membantu puan berasa tenang dan damai.

Sumber: drzubaidi.com

Tuesday, July 8, 2014

Tips Melatih Anak Berpuasa Di Bulan Ramadhan


Berpuasa adalah rukun Islam yang ke-3. Lumrahnya suasana bulan puasa sangat meriah di seluruh dunia. Malah ada juga rakan-rakan yang bukan seagama turut serta tidak makan dan minum ketika umat Islam berpuasa. Tidak ketinggalan, kanak-kanak juga amat teruja untuk berpuasa bersama..  Berikut dikongsikan 10 tips mudah untuk melatih anak-anak kecil berpuasa.
1. Terangkan kepada anak-anak kelebihan berpuasa. Sungguhpun belum wajib bagi kanak-kanak tetapi mendatangkan pahala jika dilaksanakan dengan sempurna. Amalan puasa juga amat bermanfaat kepada kesihatan
2. Mulakan dengan setengah hari bagi umur 4-6 tahun. Biarkan waktu berbukanya setelah azan zohor bagi minggu pertama. Minggu berikutnya, waktu berbuka adalah apabila azan Asar. Manakala minggu ke-3, waktu berbukanya sama seperti orang dewasa iaitu ketika azan Maghrib. In sya Allah berhasil..dengan perlahan-lahan, terutama tahun pertama puasa.
3. Bagi anak-anak berumur 7 tahun ke atas, lazimnya mereka sudah mampu berpuasa seperti orang dewasa. Namun pastikan mereka memakan sahur. Sebaiknya terdapat kurma sebagai salah satu hidangan ketika sahur bagi membekal tenaga yang lebih lama in sya Allah.
4. Memberi galakan bukan paksaan. Dorongan dan kata-kata semangat untuk memotivasi mereka. Apabila mereka berpuasa dengan rela hati, mereka tidak rasa tertekan sebaliknya redho dengan susah payah mengharungi seharian berpuasa.
5. Janjikan hadiah atau ganjaran, sekiranya mereka berjaya berpuasa dengan cemerlang. Hadiah disampaikan setelah tamat bulan Ramadhan.
6. Seluruh ahli keluarga perlu tunjukkan ‘support’. Jangan pula ada orang yang lebih tua daripada mereka, tidak berpuasa.
7. Ajak mereka sekali bangun sahur. Untuk memudahkan mereka bangun sahur bersama kita, haruslah pastikan mereka tidur awal..
8. Sediakan mereka menu kesukaan, tanya mereka apa yang mereka nak makan kektika berbuka dan bersahur nanti.. Ini akan menambahkan semangat mereka untuk berpuasa.
9. Elakkan daripada mereka nampak makanan kegemaran seperti ais krim atau sebagainya semasa berpuasa. Sembunyikan dahulu pada waktu siang. Ini dapat mengurangkan kecenderungan mereka berbuka puasa sebelum tiba masanya.
10. Sibukkan mereka dengan aktiviti-aktiviti berfaedah terutama pada waktu petang seperti beriadah, bacaan ringan, bermain, melukis lukisan yang bertemakan kegembiraan berpuasa  dan seumpamanya. Oleh itu mereka kurang berfikir pasal makan atau lapar.
11. Pastikan makan tidak terlalu kenyang semasa berbuka. Makan buah dahulu. Ini juga point untuk melatih mereka supaya tidak berlebih-lebihan mengikut nafsu di samping mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Lepas solat Maghrib boleh sambung makan, itu pun jangan berlebih-lebihan.
Melatih anak-anak berpuasa merupakan tanggungjawab ibu bapa. Di samping sebagai latihan kepada anak-anak menjadi manusia yang taat, ibu bapa sedang menerima ganjaran daripada Allah s.w.t. Cantiknya Islam.
Pada zahirnya seolah-oleh membebankan kanak-kanak, tetapi sebenarnya mereka sedang dirangka untuk menjadi manusia yang seimbang dan cemerlang dari segi rohani, kebijaksanaan dan emosi.
Sumber: blog.rahsiaanakpintar.com



Anak 3 Tahun


Kanak-kanak yang berusia 3 tahun amat suka bermain dan berimaginasi. Pada usia 2 tahun, mereka lebih banyak meneroka dengan keupayaan fizikal (lari, lompat, berguling). Tetapi apabila masuk usia 3 tahun, mereka lebih fokus pada kemahiran motor halus.

Anda akan dapati kanak-kanak 3 tahun boleh duduk agak lama di suatu tempat, bermain dengan permainan menggunakan imaginasi. Mereka mungkin berlakon sedang membayar wang di kaunter atau mengambil tempahan makanan. Mereka juga mungkin sedang membayangkan situasi peperangan atau sedang memandikan bayi.

Kemahiran motor halus seperti pergerakkan jari-jari juga menjadi lebih cekap. Mereka boleh disuruh untuk mengemas barang, membuang sampah dan meletak cawan ke dalam sinki. Malah ramai antara mereka sudah boleh menumpukan perhatian terhadap aktiviti mewarna.

Pada usia begini, aktiviti kreatif seperti ‘arts and painting’ amat digemari kanak-kanak. Aktiviti mewarna tanpa berus pasti lebih menarik dengan menggunakan jari atau apa saja peralatan dalam rumah (span, kertas yang direnyuk, bawang, putik kapas).

Mereka juga sudah begitu bijak memanipulasi ibu bapa. Mereka tahu kelemahan ibu bapa. Maka kita mestilah yakin bahawa kita sebagai ibu bapalah yang mengetuai peraturan dalam rumah. Pada waktu ini, kita mesti menegaskan sempadan, apa benda yang boleh dan apa benda yang tak boleh. Jangan takut kepada anak sendiri. Anda mesti bijak menilai sama ada anda sedang memanjakannya atau anda sedang merosakkannya.

Contoh paling mudah ialah penggunaan gadget dan tv. Begitu juga tentang pemakanan yang tidak berkhasiat. Bagi kanak-kanak luar bandar, sudah ada yang pandai keluar bermain di luar rumah tanpa pengawasan ibu bapa dan tidak pula meminta izin untuk keluar (padahal umur baru 3 tahun! bayangkan anak itu pada usia 15 tahun nanti)

Secara umumnya, kanak-kanak 3 tahun boleh menggunakan 3 perkataan dalam satu ayat. Contohnya : “mama, nak keluar.” “adik nak ikan” “ni kasut ayah”. Mereka masih lagi pelat beberapa bunyi tetapi pertuturannya boleh difahami oleh ahli keluarga. Ayat yang digunakan juga masih tidak begitu teratur. Tetapi mereka tetap cuba untuk menggunakan ayat yang lebih panjang.

Antara aktiviti berkaitan pertuturan-bahasa yang boleh dibuat oleh ibu bapa bersama anak 3 tahun ialah:

1) Suruh dia lakukan sesuatu dengan arahan yang panjang. Contohnya : “letak seluar ni dalam bakul, lepas tu tolong ambilkan bedak kat atas meja.”
“buang tisu ni dalam bakul sampah, lepas tu basuh tangan.”
Pastikan anda sertai dengan pujian dan galakkan.


2) Aktiviti mengenal warna dan menamakan warna. Apabila anak memilih sendiri pakaian, suruh dia sebut warna pakaian yang dipilih. Begitu juga apabila nampak kereta lori dijalanan. Sebut warna kenderaan tersebut.
3) Banyakkan penggunaan kata sifat @ kata adjektif dalam perbualan bersama anak. Contoh kata sifat seperti : wangi, busuk, panjang, laju, lambat, banyak, sedikit, kuat, keras, lembut.

4) Aktiviti bercerita buku bergambar. Buku cerita, bukan buku ABC, 123, atau tulis ikut titik. Ingat, buku cerita yang ada watak, plot dan pengajaran. Jika anda target bab akademik, maka itu adalah bab lain. Di sini saya khusus menerangkan tentang pertuturan bahasa.

5) Pandang mukanya, dengar percakapannya dengan penuh perhatian. Berhenti sekejap dari gadget anda dan tumpu pada apa yang dia nak cakap. Jika dia tersilap cakap (pelat atau ayat terbalik), maka anda mesti ulang ayatnya itu dengan betul.

Jika anda mengesyaki anak anda lewat bercakap berbanding rakan sebaya, bawalah anak berjumpa speech therapist berhampiran untuk melakukan penilaian.

Sumber: rubyatika.wordpress.com

Sunday, July 6, 2014

Kerana Isterimu Amat Berharga


Alam perkahwinan dikatakan hanyalah indah diawal usia ikatan ini terjalin. Dikala itu perhubungan suami isteri begitu erat, mesra dan romantik. Terasa kehidupan berkeluarga begitu indah sekali. Hari-hari dilalui bersama penuh dengan kasih-sayang.
Namun, kemesraan dan romantik itu hilang seiring dengan waktu yang berlalu. Perhubungan semakin hari menjadi semakin dingin dek kerana tanggungjawab dan usia yang kian bertambah. Ramai dikalangan pasangan suami isteri yang menjadikan kelahiran anak sebagai asbab musabab kepada masalah ini. Ya, ini mungkin betul. Tapi, jangan diletakkan punca masalah sepenuhnya kepada bayi yang tidak berdosa itu. Mereka sebenarnya penyeri kepada rumah tangga, bukan yang merenggangkan hubungan suami isteri.
Persoalannya, mengapa ini berlaku? Orang dahulu lagi ramai anak sampai berbelas-belas pun ada, mereka perlu cari nafkah juga. Tapi kenapa mereka masih mesra dan erat serta romantik walaupun usia sudah menjengah senja? Tapi ibu bapa hari ini kebanyakannya menjadi sebaliknya.
Jawapannya? Mudah dan ringkas namun susah untuk dipraktikkan. LUANGKAN MASAMU. Bukan perlu pergi bercuti setiap bulan. Bukan juga perlu bersama selalu atau berbual 24 jam. Tapi, dengan menggunakan masa yang amat terhad dengan sebaiknya. Bagaimana? Mari kita lihat satu persatu.

Tolong ringankan beban mereka

Perkara ini telah ditunjukkan oleh junjungan besar kita Rasulullah SAW. Baginda amat gemar menolong isteri-isteri baginda dalam hal rumahtangga. Hal ini amat meninggalkan kesan kepada isteri kita. Biarpun kita hanya menolong sedikit sahaja, tetapi mereka akan merasakan bahawa kita memahami susah payah mereka dan kita mencuba menolong mereka walaupun sedikit. Jika anda terlalu malas, walaupun tidak menolong isteri anda. Sekurang-kurangnya temanilah isteri semasa mereka melakukan kerja dengan berborak dengan mereka.

 Kejutan

Siapa yang tidak suka kepada kejutan? Semua orang suka bukan? Tapi kenapa ramai yang tak dapat untuk membuat kejutan untuk pasangan? Kerana kita memikirkan perkara yang terlalu susah. Kejutan tak semestinya candle light dinner atau hadiah cincin yang beribu-ribu. Cukup sekadar bunga atau surat yang mengandungi ucapan serta kata-kata yang ikhlas buat pasangan. Pasangan anda pasti akan cukup menghargainya.

Bermesra sebelum ke tempat kerja

Sebelum ke tempat kerja, biasakanlah diri memeluk isteri, mengucup dahi pasangan serta mengucapkan kata cinta walaupun seringkas ‘I love you’. Biarpun proses ini amat pendek, namun jarang dilakukan oleh pasangan. Anda perlu cuba melakukannya, kerana ia meninggalkan kesan yang amat hebat dalam hubungan suami isteri.

Senantiasa bertanya khabar

Suami, ingat isteri amat suka diambil berat perihal diri mereka. Biasakan diri anda bertanya khabar dan keadaan mereka semasa anda tidak ada bersama. Tidak semestinya perlu telefon dan bercakap berjam-jam. Cukuplah sekadar mesej tanda ingatan anda kepada isteri tersayang. Anda hanya perlu luangkan masa selama beberapa minit untuk menaip mesej, tapi ketahuilah ia amat bermakna kepada isteri dan meninggalkan kesan bertahun-tahun dalam perhubungan anda.

Isteri itu amat berharga

Langit tak selalunya cerah. Terkadang, mungkin hujan petir darang menimpa. Moganya perkongsian tips ini dapat membantu hubungan sepasang suami isteri agar kembali bergemerlapan walau kadang hujan melanda. Dalam mencari duit, jangan lupa sentuhan-sentuhan ajaib untuk pasangan tersayang. Ingat, ‘Duit mungkin berharga, tapi si dia amat berharga’.
Sumber: keluargabaru.com

Friday, July 4, 2014

Doa Mudah Melahirkan Anak

Ibu yang sedang hamil, eloklah mengamalkan doa ini selalu selepas solat dan memohon dimudahkan melahirkan anak dengan selamat termasuk bayinya.
Surah Yunus, Ayat 31:

Bertanyalah kepada mereka: “Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa? 

Thursday, July 3, 2014

Sembelit Semasa Berpantang


Kebanyakan wanita yang baru bergelar ibu mengalami masalah sukar membuang air besar terutama pada minggu pertama selepas bersalin. Rasa bimbang tentang luka da jahitan potongan (episiotomi) pada perineum membuatkan ramai ibu takut untuk ke tandas. Fahami masalah ini lebih lanjut dalam artikel seterusnya.

Sebenarnya ia adalah perkara biasa yang berlaku. Selain daripada kebimbangan luka jahitan akan terbuka atau takut meneran, terdapat beberapa faktor fizikal menyebabkan usus anda agak perlahan.

 Jumlah progesterone yang tinggi mungkin menyebabkan masalah sembelit semasa hamil.

 Sistem pencernaan berfungsi lebih perlahan semasa proses kelahiran.

 Ubat yang diberi untuk kelegaan sakit semasa proses kelahiran, seperti petidina boleh menyebabkan usus berfungsi agak perlahan berbanding daripada biasa.

 Kelahiran dengan bantuan forseps atau ventouse memberikan risiko lebih tinggi untuk sembelit.

 Kelahiran anak kedua dan seterusnya.

 Pengambilan suplemen zat besi atau ubat anti depresi.

 Mendapat jahitan pada luka.

 Sakitkah buang air besar?


Ketakutan ibu untuk membuang air besar selepas bersalin membuatkan mereka sanggup menahan diri. Sebenarnya ketakutan tersebut tidak berasa. Bahagian antara anus dan perineum anda terasa kebas.

Ia disebabkan saraf di dalam dan mengelilingi vagina anda telah melonggar akibat kelahiran. Ini bermakna anda tidak mempunyai sensasi di tempat itu apabila menggerakkan usus untuk pertama kali.

Bahkan perasaan takut hanya menyebabkan ibu rasa lebih tidak selesa. Ia boleh memaksa anda mengetatkan otot sedangkan apa yang paling diperlukan adalah otot mengendur.

Hakikatnya ibu tidak akan mengoyakkan jahitan atau merosakkan sesuatu dengan menggerakkan usus. Adalah lebih memudaratkan jika tidak ke tandas sebab sembelit akan melonggarkan lantai pelvis anda.

Cara mengatasi sembelit?


1. Amalkan rutin pengambilan makanan dan minuman yang teratur selepas sahaja melahirkan bayi. Banyakkan makan makanan berserat tinggi, terutama sekali buah-buahan dan minum banyak cecair (air dan sup).

2. Cecair membantu menjadikan najis lebih lembut dan senang untuk dilepaskan. Suasana dalam hospital adalah sangat kering dan anda boleh ternyahhidrat tanpa disedari. Selain itu, menyusukan bayi boleh membuat anda dahaga, jadi ibu perlu banyak minum.

3. Bangunlah daripada katil (apabila sudah kuat) selepas bersalin dan berjalan secara dekat dan kerap di keliling wad jika anda masih di hospital, atau semasa di rumah. Duduk atau berbaring dalam jangka masa yang lama hanya membuatkan masalah sembelit lebih teruk.

4. Apabila perasaan hendak membuang air besar mula terasa, jangan abaikan, sebaiknya segera ke tandas. Duduk sepenuhnya di mangkuk tandas dan jangan menenggek.

5. Luruskan belakang anda dan angkat lutut agar lebih tinggi daripada punggung. Jika boleh, letakkan kaki di atas bangku supaya lebih tinggi dan pijak dengan jari kaki. Letakkan siku di atas lutut. Tujuannya supaya berada dalam posisi yang paling mirip dengan mencangkung krana ia cara yang paling baik untuk menggerakkan usus. Sesetengah wanita mendapati lebih senang menggunakan bekas najis bayi apabila kembali ke rumah atas sebab ini!

6. Rebahkan diri, kemudian duduk tegak beberapa kali untuk menggerakkan otot-otot perut anda. Anda patut boleh merasa otot-oto mengetat dan mengendur.

7. Ambil tuala wanita dan lipat dua, letakkannya atas perineum anda dan tutup sebarang jahitan, jika ada dan tekan dari depan supaya tidak terlucut. Membuat sebegini membantu menyokong lantai pelvis dan meyakinkan anda yang jahitan tidak akan koyak (ia tidak akan berlaku).

Bila saraf-saraf di dalam perineum anda sudah sembuh, anda mungkin terasa sakit bila menggerakkan usus. Ini adalah kerana perineum dan lantai pelvis turut bergerak ke bawah bila anda meneran. Menahan bahagian ini akan mengelakkannya daripada berlaku dan akan banyak melegakan kesakitan.

Menolak dan meneran tidak akan membantu masalah sembelit dan mungkin menyebabkan kesakitan. Tapi ia tidak akan mengoyakkan jahitan anda.

Jika makan sesuatu atau meminum segelas besar air atau jus, anda akan merasakan desakan yang lebih kuat untuk ke tandas. Ini selalunya berlaku dalam 15 hingga 30minit kemudian.

Sebaik saja anda selesai makan dan minum, jangan duduk, sebaiknya berjalan-jalan di dalam rumah seketika.

Namun, jika tiada apa-apa berlaku selepas tiga hari, anda perlu berjumpa doktor dan dia mungkin mengesyorkan ubat julap. Julap adalah berguna dan selamat untuk mendapatkan kelegaan jangka pendek. Ia bertindak dengan merangsang rentak semulajadi usus anda, tapi boleh menyebabkan kekejangan perut.

Selalunya doktor akan mengesyorkan julap cecair untuk diminum sebagai langkah pertama. Jika ini kurang berkesan menjelang 3 atau 4 hari, supositori atau enema pakai buang yang kecil boleh membantu.

 Jangan membeli sendiri ubat julap di farmasi tanpa preskripsi daripada doktor kerana pengambilan ubat julap bergantung kepada sama ada anda mengambil ubat-ubat lain, atau menyusukan bayi.

Bagaimana cegah sembelit untuk jangka panjang?


✔ Sentiasa peka dan bertindaklah atas desakan badan anda.

 Elakkan ubat yang mempunyai kesan sampingan sembelit, termasuk beberapa pil penahan sakit, jadi bertanyalah kepada doktor anda.

 Banyakkan makan buah-buahan, sayur-sayuran dan minum banyak cecair dalam masa yang tetap.

 Pastikan anda membuat senaman setiap hari seperti berjalan cergas dengan membawa bayi dalam kereta tolak.

✔ Beritahu doktor jika anda menghidapi buasir atau rekah-rekah anus, yang boleh membuat sembelit menjadi lebih teruk.

Sumber: mamapeduli.info




Wednesday, July 2, 2014

Tips Menangani Anak Kencing Malam



“Mama, Aiman terkencing atas katil” Adoi, bila dengar si kecil mmberitahu ayat tersebut sebaik bangun dari tidur, rasa macam nak menjeritpun ada. Macam mana agaknya hendak mendidik anak supaya jangan kencing malam atas katil?

Kencing malam atau ‘bedwetting’ ialah kencing tidak disengajakan pada waktu malam di atas katil dikalangan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun.

Masalah kencing malam atau istilah perubatannya ‘enuresis’ adalah perkara normal bagi kanak-kanak. Biasanya selepas kanak-kanak berumur lima atau enam tahun mereka akan berhenti tabiat tersebut.

Bagaimanapun dari segi istilah, jika kanak-kanak itu selalu kencing malam tanpa sebab yang pasti, ia dinamakan sebagai ‘primary enuresis’.
Tetapi jika masalah kencing malam hanya berlaku sesekali iaitu apabila kanak-kanak terlalu aktif bermain di siang hari menyebabkan dia penat, ada masalah emosi seperti sedih dan marah atau waktu tidur yang berubah, ia dinamakan ‘secondary enuresis’.

Namun jika berterusan tanpa ada tanda mahu berhenti, ia satu penyakit yang mesti dirawat kerana bimbang ia ada kaitan dengan masalah saraf tunjuan, jangkitan kuman pada air kencing, diabetes atau buah pinggang.

Apakah punca kencing malam?


Menurut Pakar Kanak-Kanak, ada beberapa factor utama berkait rapat dengan kencing malam. Antaranya keturunan, kelewatan dalam mencapai kematangan untuk pengawalan pundi kencing dan kurangnya penghasilan hormon antidiuretic (ADH) ketika tidur.

 Dikatakan juga kanak-kanak yang mempunyai masalah kerap kencing malam disebabkan ruang pundi kencing mereka bersaiz kecil.
Kurang penghasilan hormon yang dipanggil ‘vassopressin’ semasa tidur. ‘Vassopressin adalah penting untuk mengurangkan penghasilan kecing di waktu malam.

Tips mengatasi


 Percaya atau tidak, antara kaedah mengatasi tabiat kencing malam dikalangan kanak-kanak adalah dengan menggunakan hipnosis. Kajian tersebut telah diterbitkan dalam Jurnal Persatuan Perubatan Norway dan secara jelas mengatakan ia adalah antara rawatan berkesan menangani masalah kencing malam yang kronik.

 Elakkan memberi anak minum susu atau air dalam masa dua atau tiga jam sebelum mereka tidur.

✔ Ajar anak disiplin membuang air kecil sebelum mereka tidur.

 Sekiranya sedang melatih anak bebas lampin, kejutkan anak untuk bangun dan membuang air kecil selepas dua atau tiga jam mereka tidur. Lama-kelamaan mereka akan terbiasa dengan rutin ini.

 Jika anak tidur sendirian di bilik mereka, pastikan laluan ke bilik air diterangi lampu dan mudah untuk mereka bangun di tengah malam untuk buang air.

 Jangan marah atau memalukan mereka akan perbuatan tersebut. Mereka bukan sengaja melakukan perkara itu. Sebaliknya beri sokongan kepada mereka.

 Beritahu anak mengapa mereka tidak boleh baung air di atas katil. Ajar mereka tentang kebersihan, hukum kencing sebagai najis dan sebagainya.
  
 Cara psikologi seperti system ganjaran dan penghargaan mungkin dapat membantu. Setiapkali mereka Berjaya tidak kencing malam, berikan pujian atau penghargaan supaya mereka lebih bersemangat untuk memperbaiki diri.
Untuk mengelakkan tilam basah dan berbau, alas tilam dengan plastic atau pad yang lebar seperit yang selalu digunakan di hospital. Secara tidak langsung, mungkin anak rasa tidak selesa dan berazam untuk tidak mahu kencing malam.

✔ Banyak bersabar dan sentiasa berfikiran positif. Bukan mudah hendak menghentikan tabiat kencing malam. Ia memakan masa dan memerlukan kesabaran. Jadi berilah masa dan peluang kepada anak.

Sumber: mamapeduli.info



Untuk tempahan Mini Palm Waterproof Sheet Protector (alas tilam untuk anak kencing malam):

Whatsapp/SMS 012-7095517

Tuesday, July 1, 2014

Panduan Berpuasa Ketika Hamil



Jika tahap kesihatan baik, berpuasa ketika mengandung adalah saat yang disyukuri oleh ramai ibu  hamil. Inilah masanya untuk mereka berpuasa penuh di bulan Ramadhan kerana tiada kedatangan darah haid.
Bagaimanapun bukan semua wanita hamil mampu berpuasa penuh atas sebab mereka mempunyai tahap kesihatan yang tidak mengizinkan. Berikut adalah golongan yang tidak dibenarkan menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadhan:
 Wanita yang ada sejarah kontraksi pramatang (sebelum minggu ke-36 kehamilan).
 Mereka yang mengalami tekanan darah tinggi tidak terkawal.
 Melalui kehamilan yang sukar seperti menjalani prosedur IVF dan seumpamanya untuk mengandung.
 Kandungan atau diri sendiri mempunyai komplikasi kencing manis.
✔ Mereka yang pernah mengalami pendarahan (terutama pada usia kandungan 12 minggu ke atas).
 Mempunyai sejarah keguguran atau mahu gugur.
✔ Muntah berlebihan.
 Cirit-birit yang teruk.
 ✔ Kerap keletihan sepanjang mengandung.
 Mengalami masalah anemia.
 ✔ Perlu sentiasa berehat di atas katil (bed-rest).
Sekiranya anda sihat untuk berpuasa, jangan ambil mudah soal pemakanan terutama ketika berbuka puasa dan bersahur. Pastikan anda mengambil cecair antara satu setengah liter hingga dua liter sehari. Ia boleh diminum semasa berbuka, sela masa antara waktu berbuka dan sahur serta ketika sahur.
Semasa berbuka puasa, jangan makan dengan cepat. Mulakan dengan memakan kurma diikuti mengambil jus buah-buahan dan makan makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks. Dengan itu, anda akan mendapat tenaga untuk tempoh yang lama.
Sekiranya ibu hamil menghidap penyakit darah tinggi, anda perlu tahu tahap tekanan darah. Jika ia di paras garis sempadan, anda boleh berpuasa. Namun, dapatkan pemeriksaan kesihatan doktor. Jika tekanan darah tinggi sukar dikawal, pengambilan ubat memainkan peranan. Jika keadaan mendesak, ibu dinasihatkan berpuasa selang hari.
Bagi ibu yang menghidap kencing manis, sekiranya paras glukosa dalam tubuh tidak dikawal dengan sebaiknya, ia boleh menyebabkan bayi lemas dalam kandungan. Ibu yang perlu mengambil insulin setiap hari tidak boleh berpuasa sama sekali.
Bagaimanapun sekiranya kencing manis yang dihidapi hanya memerlukan ibu menjaga diet pemakanan, maka dibolehkan berpuasa dengan pemantauan doktor.
Petanda bahaya ibu perlu berbuka puasa :
  Tiba-tiba mengalami pendarahan walaupun hanya sedikit sahaja.
 Kontraksi pramatang iaitu empat kali atau lebih dalam masa sejam. Biasanya disebabkan oleh penyahidratan.
 Terlalu letih.
  Mengalami pening.
✔ Sakit kepala yang teruk.
 ✔ Bayi dalam kandungan kurang bergerak.
  Hyperglacemia akibat kekurangan gula.
 Penglihatan mengalami kekaburan.

Sumber: pama.karangkraf.com