Monday, July 14, 2014

Bolehkah Anak Umur 2 Tahun Lebih Menyusu Badan?


Soalan:

“Assalamualaikum doktor. Anak saya sudah 2 tahun 4 bulan dan masih menyusu badan. Kalau anak bersama saya dia tak mahu susu botol. Adakah dibenarkan dalam Islam doktor? Bukankah digalakkan sehingga berumur dua tahun saja?”

Jawapan:

“Wa’alaikummussalam.
Menurut kaedah Islam, tidak ada masalah menyusukan anak lebih dari dua tahun, jika perkara itu tidak mendatangkan mudharat kepada bayi, dan dengan persetujuan suami dan isteri.

Cuma kebiasaannya, anak apabila sampai umur dua tahun, dia memerlukan makanan tambahan yang lain. Dalam al-Quran dari surah al-Baqarah ayat 233:


Maksudnya: “Dan para ibu itu menyusukan anak-anak mereka selama sempurna dua tahun, bagi sesiapa yang menyempurnakan susuan.”
Ayat ini hanya berupa panduan dan bukan menunjukkan suatu kewajipan yang membawa dosa jika menyalahinya.

Al-Imam al-Qurtubiy ketika menafsirkan ayat 233 dari surah al-Baqarah di atas menyatakan: “Tambahan lebih dari dua tahun (menyusukan anak) atau menguranginya (tempoh tersebut), boleh jika tidak ada kemudharatan kepada bayi dan dengan kerelaan suami dan isteri.”

Cuma ada sebahagian ulama seperti Ibn Asyur yang berpandangan tidak perlu ditambah susuan lebih dari dua tahun kerana perbuatan ini tidak ada keperluan lagi.

Dari segi perubatan, penyusuan jangka panjang (atau disebut extended breastfeeding) adalah apabila seorang ibu menyusukan bayi mereka selepas dua tahun pertama. Kebanyakan ibu-ibu teruama di Eropah yang memahami kepentingan penyusuan susu ibu, hanya akan menghentikan anak antara dua tahun hingga empat tahun.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri menasihati ibu-ibu untuk menyusukan selama dua tahun.

Walaupun bayi puan mula mendapat makanan dari makanan pejal, susu ibu masih merupakan makanan yang terbaik kerana menyediakan antibody secara semulajadi nutrient dan vitamin.
Bayi dan kanak-kanak kecil yang mendapat susu ibu jarang mendapatkan sakit berbanding dengan bayi yang tidak mendapat susu ibu.
Jika anak puan sedang sakit, galakkan mereka menyusu ibu kerana ia akan membantu melawan penyakit yang dihadapi.

Saya menasihatkan puan agar meneruskan penyusuan selagi anak puan belum bersedia untuk menghentikan penyusuan. Penyusuan ibu bukan saja merapatkan hubungan emosi antara ibu dan anak, malah ia membentuk keyakinan diri pada anak puan.

Tidak perlu mendengar komen-komen negative terhadap penyusuan ibu kepada anak yang melebihi umur dua tahun, kerana penyusuan itu dibenarkan syara’ dan memberi manfaat pada bayi dan anak puan.


Puan juga akan merasa lebih tenang ketika menyusukan bayi kerana ketika itu hormone prolactin dan oxytocin akan keluar dengan banyak dan membantu puan berasa tenang dan damai.

Sumber: drzubaidi.com

No comments:

Post a Comment