Sunday, July 6, 2014

Kerana Isterimu Amat Berharga


Alam perkahwinan dikatakan hanyalah indah diawal usia ikatan ini terjalin. Dikala itu perhubungan suami isteri begitu erat, mesra dan romantik. Terasa kehidupan berkeluarga begitu indah sekali. Hari-hari dilalui bersama penuh dengan kasih-sayang.
Namun, kemesraan dan romantik itu hilang seiring dengan waktu yang berlalu. Perhubungan semakin hari menjadi semakin dingin dek kerana tanggungjawab dan usia yang kian bertambah. Ramai dikalangan pasangan suami isteri yang menjadikan kelahiran anak sebagai asbab musabab kepada masalah ini. Ya, ini mungkin betul. Tapi, jangan diletakkan punca masalah sepenuhnya kepada bayi yang tidak berdosa itu. Mereka sebenarnya penyeri kepada rumah tangga, bukan yang merenggangkan hubungan suami isteri.
Persoalannya, mengapa ini berlaku? Orang dahulu lagi ramai anak sampai berbelas-belas pun ada, mereka perlu cari nafkah juga. Tapi kenapa mereka masih mesra dan erat serta romantik walaupun usia sudah menjengah senja? Tapi ibu bapa hari ini kebanyakannya menjadi sebaliknya.
Jawapannya? Mudah dan ringkas namun susah untuk dipraktikkan. LUANGKAN MASAMU. Bukan perlu pergi bercuti setiap bulan. Bukan juga perlu bersama selalu atau berbual 24 jam. Tapi, dengan menggunakan masa yang amat terhad dengan sebaiknya. Bagaimana? Mari kita lihat satu persatu.

Tolong ringankan beban mereka

Perkara ini telah ditunjukkan oleh junjungan besar kita Rasulullah SAW. Baginda amat gemar menolong isteri-isteri baginda dalam hal rumahtangga. Hal ini amat meninggalkan kesan kepada isteri kita. Biarpun kita hanya menolong sedikit sahaja, tetapi mereka akan merasakan bahawa kita memahami susah payah mereka dan kita mencuba menolong mereka walaupun sedikit. Jika anda terlalu malas, walaupun tidak menolong isteri anda. Sekurang-kurangnya temanilah isteri semasa mereka melakukan kerja dengan berborak dengan mereka.

 Kejutan

Siapa yang tidak suka kepada kejutan? Semua orang suka bukan? Tapi kenapa ramai yang tak dapat untuk membuat kejutan untuk pasangan? Kerana kita memikirkan perkara yang terlalu susah. Kejutan tak semestinya candle light dinner atau hadiah cincin yang beribu-ribu. Cukup sekadar bunga atau surat yang mengandungi ucapan serta kata-kata yang ikhlas buat pasangan. Pasangan anda pasti akan cukup menghargainya.

Bermesra sebelum ke tempat kerja

Sebelum ke tempat kerja, biasakanlah diri memeluk isteri, mengucup dahi pasangan serta mengucapkan kata cinta walaupun seringkas ‘I love you’. Biarpun proses ini amat pendek, namun jarang dilakukan oleh pasangan. Anda perlu cuba melakukannya, kerana ia meninggalkan kesan yang amat hebat dalam hubungan suami isteri.

Senantiasa bertanya khabar

Suami, ingat isteri amat suka diambil berat perihal diri mereka. Biasakan diri anda bertanya khabar dan keadaan mereka semasa anda tidak ada bersama. Tidak semestinya perlu telefon dan bercakap berjam-jam. Cukuplah sekadar mesej tanda ingatan anda kepada isteri tersayang. Anda hanya perlu luangkan masa selama beberapa minit untuk menaip mesej, tapi ketahuilah ia amat bermakna kepada isteri dan meninggalkan kesan bertahun-tahun dalam perhubungan anda.

Isteri itu amat berharga

Langit tak selalunya cerah. Terkadang, mungkin hujan petir darang menimpa. Moganya perkongsian tips ini dapat membantu hubungan sepasang suami isteri agar kembali bergemerlapan walau kadang hujan melanda. Dalam mencari duit, jangan lupa sentuhan-sentuhan ajaib untuk pasangan tersayang. Ingat, ‘Duit mungkin berharga, tapi si dia amat berharga’.
Sumber: keluargabaru.com

No comments:

Post a Comment