Tuesday, December 16, 2014

Ibu Salah Makan Bayi Alergi


Apa yang ibu makan itulah yang akan dinikmati oleh bayi yang menyusu susu ibu sepenuhnya. Oleh itu kebanyakan ibu menyusu sangat berwaspada terhadap apa yang dimakan. Namun, kadang kala ibu tidak tahu makanan tersebut yang membuatkan si anak alergi. Tetapi ada cara untuk mengelakkannya.
Bayi yang minum susu ibu secara eksklusif bukan sepenuhnya bebas daripada masalah alergi tetapi ia bukan disebabkan oleh susu ibu yang diminum sebaliknya makanan yang dimakan oleh ibu.
Makanan yang dimakan oleh ibu menyusu akan masuk ke dalam aliran darah ibu dan boleh membuatkan alahan kepada bayi tersebut. Oleh itu jika bayi anda didapati mengalami sesetengah alergi, jangan hentikan pemberian susu ibu sebaliknya ibu yang perlu bijak memilih jenis makanan yang tidak menyebabkan reaksi alergi kepada bayinya.
Beberapa makanan yang mudah menyebabkan alergi melalui susu ibu adalah susu lembu, kacang tanah dan makanan laut. Namun bukan bermaksud anda perlu terus menghentikan pengambilan makanan tersebut sepanjang menyusu kerana anda berdua masih memerlukan khasiat yang ada dalam makanan tersebut.
Mungkin ibu perlu mengelakkan makan makanan yang menyebabkan alergi secara serentak atau ‘berpantang’ makan makanan tersebut dalam tempoh masa tertentu dan sekiranya anda ingin memakannya pastikan dalam kuantiti yang sedikit.
Ada beberapa tanda yang boleh diperhatikan jika bayi mengalami alergi:
*Ruam pada kulit. Bintik-bintik merah di kawasan pipi bayi menandakan petunjuk awal bayi mengalami alergi terutama jika belum hilang dalam jangka masa yang lama.
*Selesema. Ia berbeza dengan selesema biasa. Bayi yang mengalami selesema akibat alergi akan mengeluarkan cairan yang cair dari hidungnya. Sementara bayi yang mengalami selesema biasa mengeluarkan cecair kental dan kadang kala berwarna hijau dari hidung.
*Buang air besar berdarah. Apabila alergi sudah mengganggu saluran pencernaan, bayi akan membuang air besar berdarah. Ia biasa berlaku dalam kalangan bayi berusia dua hingga enam minggu.
*Cirit dan muntah. Sekiranya masalah alergi tidak dikenal pasti puncanya dan ibu tidak sedar anak sedang mengalami alergi, bayi cenderung mengalami cirit birit dan muntah.
Oleh itu ibu perlu berwaspada memerhatikan tanda-tanda awal yang ditunjukkan oleh reaksi tubuh si kecil yang mengalami alergi.

Sumber : www.pama.karangkraf.com

No comments:

Post a Comment