Wednesday, August 20, 2014

Puri Keledek Manis

Rasa lemak manis ubi keledek memang melazatkan. Selain membuat puri buah-buahan dan sayur-sayuran, anda boleh cuba beri bayi merasai kesedapan ubi keledek. Ia sesuai untuk bayi berusia lapan bulan ke atas.
 
Ubi keledek kaya dengan vitamin B6, vitamin C, vitamin D, zat besi, magnesium, kalium dan kandungan karetenoid yang penting untuk tumbesaran yang sihat.
 

Bahan-bahan:

2 biji keledek saiz sederhana
3 sudu besar susu ibu
1 sudu kecil serbuk kayu manis
 

Cara menyediakan:

  1. Kupas dan bersihkan ubi keledek.
  1. Potong kecil dan rebus ubi keledek sehingga empuk.
  1. Kisar ubi keledek sehingga halus menjadi puri.
  1. Campur susu ibu dan serbuk kayu manis.
  1. Siap untuk diberi kepada bayi.
 
Anda juga boleh bekukan puri keledek dalam bekas kiub makanan bayi sebagai stok.
 
 

Tak Perlu Air Kosong

“Anak kamu tu haus agaknya. Bagi minum air kosong sikit,” arah Mak Leha kepada Fatin yang baharu sahaja melahirkan bayi apabila si kecil asyik menangis sahaja.
 
Adakah anda pernah berhadapan dengan situasi tersebut? Bayi baharu lahir hanya memerlukan susu ibu sebagai sumber makanan utamanya sahaja, mengapa perlu diberi air kosong?  Hakikatnya, bayi berusia enam bulan ke bawah tidak memerlukan sebarang air tambahan selain susu ibu kerana ia berupaya meragut nyawanya.
 
Ada ibu beranggapan air kosong perlu diberi kepada bayinya untuk membilas lidah yang diselaputi kesan putih selepas menyusu. Malah ada juga yang percaya air kosong dapat merawat jaundis yang dialami si comel.
Perbuatan tersebut sebenarnya mendedahkan bayi kepada pelbagai risiko kesihatan malahan boleh mengancam nyawa si kecil. Perlu diingat bahawa susu ibu sendiri mengandungi 88 peratus air! Jadi, bayi tidak memerlukan air tambahan.
 
Bahkan saiz buah pinggang bayi yang masih belum cukup matang akan membuatkan tubuhnya mengeluarkan garam kesan daripada penghasilan cecair yang berlebihan. Akibat kehilangan garam, ia boleh mempengaruhi aktiviti otak bayi.
 
Antara masalah yang boleh timbul akibat perbuatan memberi bayi yang berusia enam bulan minum air kosong adalah seperti berikut:
  1. Mengancam nyawa
Air kosong yang diberi kemungkinan mengandungi kuman. Air yang dicemari kuman diperoleh daripada sumber yang tidak bersih. Oleh itu bayi terdedah kepada masalah cirit-birit jika amalan kebersihan tidak dititikberatkan.
 
  1. Menghakis pelindung penyakit
Air kosong akan menghakis salutan pelindung penyakit yang dihasilkan oleh susu ibu. Ini boleh mendedahkan bayi kepada pelbagai penyakit yang boleh meragut nyawa apabila sistem imuniti yang dibina dirosakkan oleh amalan minum air kosong berlebihan.
 
  1. Sawan tarik
Bayi di bawah usia lima minggu sangat berisiko untuk mengalami sawan tarik. Hal ini berlaku apabila diberi terlalu banyak air, ia akan menyebabkan garam di dalam tubuhnya cair. Akhirnya mengakibatkan suhu badan yang rendah, kembung dan sawan tarik. Sindrom ini dikenali sebagai oral water intoxication.
 
  1. Merencatkan tumbesaran
Saiz perut bayi sangat kecil. Apabila perutnya dipenuhi air, ia akan menyebabkan dia kenyang dan kurang berminat untuk menyusu susu ibu. Akibatnya, bayi tidak mendapat khasiat susu ibu yang diperlukan. Air kosong tidak mengandungi apa-apa jenis khasiat pemakanan. Ia boleh menjejaskan pertumbuhan dan kesihatan bayi.
 
  1. Menjejaskan akal
Amalan memberi air kepada bayi di awal kelahiran boleh meningkatkan tahap bilirubin di dalam darah. Pemberian air kosong pada hari pertama selepas bayi dilahirkan didapati meningkatkan risiko jaundis. Pemberian air kosong hanya akan memburukkan lagi keadaan bayi yang diserang jaundis sehingga boleh menyebabkan masalah terencat akal.
Bayi boleh mula diberikan air kosong selepas berusia enam bulan keatas tetapi dalam kadar yang perlu sahaja. Pemberian air kosong berlebihan hanya membuatkan si manja kembung perut dan tidak selera untuk makan.
 
 


Tuesday, August 19, 2014

Snek Sihat Ibu Mengandung

Ibu mengandung memang gemar mengunyah. Tetapi pastikan makanan yang dikunyah termasuk dalam kategori makanan yang sihat. Ada pelbagai jenis snek sihat yang boleh dikunyah sepanjang mengandung. Jangan sekali-kali makan snek tidak berkhasiat yang banyak kandungan bahan perisa.
 
Berikut beberapa idea snek sihat dan lazat mengikut trimester kehamilan.
 

Trimester pertama

Semasa trimester pertama, mungkin ada ibu yang langsung tidak lalu makan kerana masalah mabuk hamil. Jika ini berlaku, snek boleh membantu iaitu makan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap. Ketika ini ibu hamil memerlukan lebih kalori dan folat.
 
Ambil makanan yang kaya dengan folat seperti membuat salad menggunakan daun bayam kecil, atau kukus asparagus yang dimakan dengan pencicah. Makan banyak buah oren. Anda juga boleh sentiasa menyimpan roti berserat tinggi supaya boleh makan bila-bila masa anda memerlukannya.
 
Selain dari itu ibu juga memerlukan vitamin A yang penting bagi perkembangan organ, sistem peredaran, pernafasan dan sistem saraf bayi. Dapatkan snek yang kaya dengan vitamin A dalam trimester pertama.
 
Telur dan keju adalah sumber yang baik selain vitamin A dalam sayur-sayuran dan buah-buahan berwarna oren yang mengandungi betakarotina. Campur potongan buah mangga, pic dan betik ke dalam bijirin anda. Anda juga boleh membuat minuman smoothies. Sup daripada lobak merah, labu air dan keledek juga sangat berkhasiat.
 

Trimester kedua

Ketika ini ibu perlu lebih fokus mendapatkan kalsium yang cukup kerana gigi dan tulang bayi mula terbentuk. Kalsium dapat mengurangkan risiko mengalami tekanan darah tinggi. Produk tenusu membekalkan banyak kalsium yang mudah diserap oleh badan. Yogurt adalah snek yang mudah.
 
Sekiranya tidak boleh mengambil produk tenusu, boleh beralih pada produk soya yang diperkaya dengan kalsium. Buah tin kering dan badam juga mengandungi kalsium. Ia boleh dibawa ke mana-mana.
 
Satu lagi snek yang baik untuk bakal ibu ketika trimester ini adalah sardin dengan roti bakar. Sardin membekalkan kalsium, zat besi dan asid lemak omega 3. Asid lemak ini penting untuk perkembangan otak dan mata bayi.
Satu lagi mineral penting bagi tulang ialah magnesium. Makanlah snek yang kaya dengan magnesium seperti segelas susu, sebiji kentang bakar atau segenggam biji-bijian.
 

Trimester ketiga

Memasuki trimester akhir kehamilan bermakna ibu memerlukan lebih banyak tenaga, vitamin C dan thiamin (vitamin B1). Tenaga tambahan yang diperlukan hanyalah 200 kalori sahaja. Sekeping roti bakar bijirin penuh dengan ekstrak yis dan sebiji tomato atau semangkuk sup cendawan dan buah oren mandarin sangat berkhasiat.
 
Vitamin C memainkan peranan dalam memastikan plasenta berkembang dan berfungsi dengan baik. Ia juga membantu lapisan dinding perut menyerap zat besi daripada makanan. Buah strawberi dan kiwi kaya dengan vitamin C. Ia mudah dibawa ke mana-mana dan boleh dibuat smoothie yang enak atau salad buah-buahan.
 
Vitamin C dalam sayur-sayuran boleh terhapus sekiranya dimasak terlalu lama. Brokoli dan bunga kubis atau lada benggala hanya perlu distim seketika dan enak dimakan dengan sos salad.
 
Sementara itu tingkatkan pengambilan vitamin B dengan mengambil bijirin sarapan pagi yang diperkaya dengan serat tetapi pilih yang rendah kandungan gula. Keperluan thiamin meningkat dalam trimester terakhir untuk membantu ibu mengeluarkan tenaga daripada makanan.
 
Kekacang, beras perang, sayur-sayuran hijau adalah sumber thiamin yang baik. Sediakan snek mudah diperbuat daripada sekeping roti bijian bakar dengan kacang panggang yang dapat membekalkan khasiat yang diperlukan.
 
 


Bila Kepala Bayi Turun?

Biasanya bila sudah masuk ke minggu-minggu akhir kehamilan, soalan yang kerap diajukan kepada ibu termasuklah “baby dah ‘turun’ belum?” Kadang kala ibu pun tidak tahu bagaimana keadaannya bila dikatakan bayi sudah ‘turun.’
 
Istilah ‘turun’ tersebut merujuk kepada keadaan di mana bila kepala bayi sudah bergerak masuk ke dalam rongga pelvis ibu. Biarpun kepala bayi masuk ke dalam rongga pelvis berlaku di akhir kehamilan iaitu ketika ibu hampir hendak bersalin tetapi ia juga bergantung kepada banyak perkara.  Ada juga situasi dimana kepala bayi sudah turun awal, tetapi ibu masih belum bersalin lagi.
 
Setiap kelahiran bayi itu adalah berbeza maka setiap bayi juga turun pada masa yang berbeza menjelang akhir kehamilan. Apabila saatnya tiba, bayi akan bergerak ke bawah kerana bahagian bawah rahim sudah mengembang.  Kepala bayi atau punggungnya (jika bayi berkedudukan songsang), akan berada rendah dalam rongga pelvis ibu.
 
Bila ibu mengalami keadaan tersebut, tiba-tiba ibu berasa seperti ringan dan mudah bernafas. Namun tekana bayi ke atas pundi kencing di bawah membuatkan anda semakin kerap ke tandas. Ibu yang hamil pertama kali mungkin melalui proses bayi turun pada minggu ke-36, bagaimanapun ada bayi hanya mula turun apabila proses kelahiran bermula.
 
Berikut adalah beberapa perkara yang memainkan peranan dalam menentukan bila bayi anda turun:
 
*Bayi berada dalam posisi posterior, iaitu dia membelakangkan belakang anda. Dalam posisi ini, sukar bagi bayi untuk turun dan proses kelahiran juga boleh menjadi sukar.
 
*Bayi mempunyai banyak ruang untuk bergerak. Ini boleh berlaku jika terdapat banyak cecair amnion atau anda pernah mempunyai bayi sebelum ini. Bayi anda mungkin berbaring merentasi perut anda (melintang) atau pada satu sudut (serong). Dalam posisi-posisi ini, dia kemungkinan besar tidak turun sebelum proses kelahiran bermula.
 
*Bentuk pelvis anda, posisi plasenta, atau kehadiran ketumbuhan tidak berbahaya (fibroid). Kesemua ini boleh memberi kesan sama ada dan bila bayi anda turun.
 
*Bayi anda besar. Dalam kes ini, bayi mungkin tidak turun sehingga kontraksi bermula.
 
*Ibu  hamil kembar dua atau lebih.
 
 


Friday, August 15, 2014

Lewat Mengazankan Bayi

 
Soalan:
 
Apakah hukumnya sekiranya tidak mengazan atau mengqamatkan bayi sejurus selepas dia dilahirkan. Sebaliknya amalan tersebut dilakukan pada hari kedua dan seterusnya.
 
Jawapan: 
 
Pertama sekali hendaklah diketahui bahawa tidak ada hadis sahih dalam bab ini. Hadis masyhur yang menyebutkan bahawa: Aku melihat Rasulullah mengumandangkan adzan (sepertimana azan untuk solat) pada telinga Hasan bin Ali saat beliau dilahirkan oleh Fatimah adalah lemah [Dha'if Sunan al-Tirmizi, no: 1436/1514, Musnad Ahmad, no: 22749/23869].
 
Pun begitu, tidak mengapa jika hendak mengamalkan hadis ini. Tetapi perhatikan bahawa azan dan iqamat tersebut adalah pada saat bayi dilahirkan, bukan sehari dua kemudian. Jika tidak sempat untuk azan dan iqamat pada saat dilahirkan, maka tidaklah mengapa kerana amalan ini bukanlah sunnah yang sabit di sisi Rasulullah.