Showing posts with label resepi bayi. Show all posts
Showing posts with label resepi bayi. Show all posts

Thursday, August 21, 2014

Pemakanan Kanak-Kanak yang kurang Berat Badan

Pengenalan

Kekurangan berat badan tidak bermaksud kurus ataupun langsing. Sesetengah kanak-kanak, secara semula jadi, bertubuh agak besar dan mengekalkannya dengan mengamalkan diet yang seimbang serta melakukan aktiviti fizikal. Ini adalah sihat dan normal. Manakala sesetengah kanak-kanak pula, secara semula jadinya bertubuh kecil, namun mereka bukanlah kekurangan berat badan. Walau bagaimana pun, kekurangan berat badan yang sebenar mungkin petanda kepada masalah pemakanan, kesihatan atau emosi.
 

Bagaimana untuk mengetahui jika anak saya mengalami kekurangan berat badan?

  • Pertumbuhan adalah petunjuk yang baik bagi status pemakanan seseorang kanak-kanak. Pertumbuhan kanak-kanak dinilai oleh anggota kesihatan untuk mengetahui sama ada kanak-kanak tersebut mengikuti corak pertumbuhannya.
  • Pertumbuhan kanak-kanak boleh diawasi dengan menimbang berat badan dan mengukur ketinggiannya serta membuat perbandingan dengan rujukan standard. Ini boleh dilakukan dengan memplot nilai berat badan dan ketinggian kanak-kanak pada carta berat badan dan ketinggian mengikut jantina.
  • Anggota kesihatan akan menimbang berat dan mengukur ketinggian seseorang kanak-kanak untuk menentukan sama ada ia berada dalam lingkungan yang sihat. Umur dan corak pertumbuhan kanak-kanak juga akan diambil kira bagi menentukan sama ada mereka mengalami berat badan yang berlebihan. Kekurangan berat badan di kalangan kanak-kanak adalah sukar untuk ditafsirkan kerana tumbesaran mereka tidak boleh dijangka.

Apakah perkara-perkara yang perlu diambil kira bagi kanak-kanak yang mengalami kekurangan berat badan?

  • Seorang anak yang kekurangan zat makanan lebih cenderung untuk mendapat jangkitan. Dia mungkin berasa lemah dan letih serta menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian.
  • Anak tersebut mungkin mengalami pertumbuhan terbantut atau permulaan akil baligh yang agak lewat.
  • Dalam sebarang keadaan pun, adalah mustahak untuk berunding dengan doktor untuk mengenal pasti masalah dan bagaimana untuk mengatasinya.

Terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan masalah kekurangan berat badan. Ini termasuk:

  • Tidak makan secukupnya mengikut keperluan harian yang disarankan. Pengurangan pengambilan makanan harian biasanya berlaku lebih awal iaitu mungkin beberapa minggu atau bulan sebelumnya.
  • Penyakit seperti jangkitan cacing.
  • Tekanan.
  • Senaman yang berlebihan
  • Kurang berminat untuk makan. Ini mungkin tanda-tanda kemurungan, alahan pemakanan yang menyebabkan ketidakselesaan selepas makan, kandungan kafein yang tinggi, terlalu risau akan mengalami berlebihan berat badan ataupun penyakit berkaitan pemakanan.
  • Peningkatan kadar pertumbuhan yang mendadak.

Apakah yang boleh saya lakukan untuk membantu anak yang mengalami kekurangan berat badan? Jika doktor menyarankan pertambahan berat badan, objektif utama adalah untuk:

  • Menggalakkan anak mengambil kalori yang lebih. Mulakan dengan merancang hidangan dan snek yang berkalori tinggi mengikut setiap kumpulan makanan daripada Panduan Piramid Makanan Malaysia.
  • Adalah penting bagi anak anda mengambil protein, karbohidrat serta lemak dengan secukupnya bagi membekalkan tenaga untuk aktiviti, tumbesaran dan perkembangan.
  • Galakkan aktiviti fizikal sebagai rutin harian Sekiranya anak anda aktif bermain, pastikan dia berehat sekurang-kurangnya 15 minit sebelum waktu makan.
  • Elakkan memberi anak makan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi seperti gula-gula, minuman ringan ataupun makanan tinggi kandungan lemak dari kedai makanan segera.
  • Hadkan pengambilan snek sebelum waktu makan kerana amalan ini akan mengurangkan selera makan.
  • Elakkan pengambilan kafein, galakkan minuman berkhasiat seperti jus dan susu.
  • Pilih makanan yang digemari oleh anak anda.

Apakah yang patut anak saya makan?

Oleh kerana makanan kurang diambil, ibu bapa atau penjaga harus memberi makanan berkalori tinggi. Apabila menyediakan makanan, utamakan sumber lemak tambahan yang sihat seperti minyak sayuran sebagai pengganti mentega atau marjerin.
 
 

Berapa banyakkah harus anak saya makan?

  • Galakkan anak makan dengan kerap. Enam hidangan kecil mungkin lebih mudah dimakan berbanding tiga hidangan utama. Anak anda harus makan sebanyak yang boleh tanpa merasa tidak selesa. Jangan paksa dia makan.
  • Berikan pelbagai jenis makanan dan snek kepada anak anda sepanjang hari.
  • Jika anak ke sekolah, bekalkan dia makanan snek sihat seperti biskut kraker, buah-buahan kering (seperti kismis), lobak merah dan kacang.
  • Pada mulanya, anak anda mungkin tidak biasa makan banyak. Berikan galakkan walaupun terdapat sedikit perubahan. Anda perlu faham bahawa perubahan perlu mengambil masa. Banyakkan bersabar.

Bagaimana saya boleh bantu anak saya rasa positif tentang imej dirinya?

  • Perlu diingat bahawa setiap anak adalah unik dan begitu juga bentuk badannya. Kanak-kanak berbeza dari segi saiz, bentuk dan ketinggian. Mereka juga membesar pada kadar berbeza. Walau bagaimanapun, yang penting, anak anda sihat.
  • Jangan timbang anak anda terlalu kerap. Rumah sepatutnya tempat yang selesa dan tidak rasa terasing oleh kanak-kanak. Doktor mungkin mengesyorkan lawatan ke klinik yang kerap untuk memantau perkembangan anak anda. Gunakan kesempatan ini untuk memperoleh maklumat mengenai berat badan anak anda. Selain itu, tumpukan perbincangan mengenai berat badan.
  • Berat badan sihat adalah berat yang boleh dikekalkan secara sihat dengan memastikan kanak-kanak cukup zat, aktif dan mempunyai perasaan yang positif terhadap tubuh badan dan saiz mereka.

Contoh menu

 
Hidangan Nasi Tomato (Hidangan 4 orang)
 
Bahan-bahan
  • 90g (1/2 cawan) beras
  • 1 sudu makan marjerin
  • 30ml (2 sudu makan) puri tomato
  • 125ml (1/2 cawan) jus tomato
  • 125ml (1/2 cawan) air
  • 5g (1/2 sudu makan) minyak sayuran
  • 10g (2 ulas) bawang putih, ditumbuk
  • 10g (2 cm) halia, dihancurkan
  • 60g (1 biji) bawang besar, dihiris
  • 100g (2 biji) tomato, dipotong dadu
  • 125g (1/2 cawan) daging yang empuk ( contoh: striploin), dihiris nipis
  • Garam, gula dan lada sulah secukup rasa.
Cara memasak
  • Di dalam periuk nasi elektrik, tanak beras bersama puri tomato, ¼ jus tomato dan air. Tambah 1 sudu makan marjerin.
  • Sementara itu, tumis bawang putih, halia dan bawang besar dalam kuali berasingan. Masukkan tomato yang dipotong dadu serta baki jus tomato. Tambah hirisan daging dan masak hingga empuk. Tambah lebih air, jika perlu. (Untuk kanak-kanak kecil, gunakan daging cincang atau ayam)
  • Tutup api dan letakkan berasingan.
  • Sendukkan nasi ke dalam acuan jeli berbentuk bulat. Buat satu lekuk di tengah-tengah nasi dan letakkan daging yang telah ditumis ke dalam lekuk tersebut.
  • Telungkupkan nasi tomato berserta daging ke atas pinggan dan hidangkan.

Kandungan nutrisi setiap hidangan

 
Kalori (kkal) : 173.0
Protein (g) : 10.0
Zat Besi (mg) : 3.5
Lemak (g) : 2.0
Kalsium (mg) : 25.01 - 3 Tahun
 
 
 
 


 
 
          
  
      
   


 


 


Wednesday, August 20, 2014

Puri Keledek Manis

Rasa lemak manis ubi keledek memang melazatkan. Selain membuat puri buah-buahan dan sayur-sayuran, anda boleh cuba beri bayi merasai kesedapan ubi keledek. Ia sesuai untuk bayi berusia lapan bulan ke atas.
 
Ubi keledek kaya dengan vitamin B6, vitamin C, vitamin D, zat besi, magnesium, kalium dan kandungan karetenoid yang penting untuk tumbesaran yang sihat.
 

Bahan-bahan:

2 biji keledek saiz sederhana
3 sudu besar susu ibu
1 sudu kecil serbuk kayu manis
 

Cara menyediakan:

  1. Kupas dan bersihkan ubi keledek.
  1. Potong kecil dan rebus ubi keledek sehingga empuk.
  1. Kisar ubi keledek sehingga halus menjadi puri.
  1. Campur susu ibu dan serbuk kayu manis.
  1. Siap untuk diberi kepada bayi.
 
Anda juga boleh bekukan puri keledek dalam bekas kiub makanan bayi sebagai stok.
 
 

Thursday, June 19, 2014

Resepi Puri Buah-buahan Untuk Bayi 6-8 Bulan

Puri Epal


Tempoh penyediaan: 10 minit
Bahan-bahan:
1. Sebiji epal fuji
2. Air secukupnya
Cara penyediaan:
1. Ambil sepotong buah epal. Cuci, buangkan kulit dan cincang seperti dadu.
2. Kemudian, rebus bersama sedikit air.
3. Biarkan mendidih sehingga buah menjadi lembut.
4. Selepas itu, ambil epal yang telah direbus dan kisar sehingga halus.

Puri blueberi

Tempoh penyediaan: 10 minit
Bahan-bahan:
1. ½ cawan buah blueberi
2. Air secukupnya
Cara penyediaan: 
1. Didihkan air. Tambah blueberi dan biarkan mendidih hingga 15 minit atau lembut.
2. Asingkan air rebusan dan blueberi. Kisar blueberi sehingga menjadi puri.
3. Jika perlu boleh tambahkan lebihan air rebusan ke dalam puri.

Puri kurma


Tempoh penyediaan: 20 minit
Bahan-bahan:
1. Kurma jenis lembut
2. Air secukupnya
Cara penyediaan:
1. Buang biji Kurma dan buang kulit kurma sekali.
2. Steam kurma 15 minit supaya kurma menjadi lebih lembut.
3. Blend kurma sampai halus.

Puri pir

Tempoh penyediaan: 10 minit
Bahan-bahan:
1. 1 biji pir masak
2. Air secukupnya
Cara penyediaan:
1. Kupas kulit buah pir dan potong kecil.
2. Kukus potongan pir selama 10 minit atau sehingga lembut.
3. Kisar potongan pir selama sehingga tiada lagi ketulan.
Nota:
  • Anda digalakkan mencuba dahulu makanan yang disediakan sebelum memberikan kepada bayi anda. Sila pastikan suhu puri tersebut sesuai untuk bayi anda. Jika anda membuat puri yang banyak untuk stok sehari, pastikan tiada perubahan pada rasa dan warna puri tersebut. Hal ini penting untuk keselamatan anak anda.
  • Selain itu, puri yang disediakan boleh diperbaiki dari sudut rasa dan kelikatan yang anda rasakan sesuai. Sebagai contoh, jika anda mahukan puri yang pekat, anda boleh tambah bijirin bayi dan jika anda mahu mencairkannya, anda boleh mencampurkannya dengan susu.

Selamat mencuba! :)